Isnin, 30 November 2009

Sebarau Ban Pisang

Saudara Shahrizal (Jan Bit Geng Silverstone) sedang beraksi dengan sebarau Sungai Kurau. Aksi ini dirakamkan di lokasi kegemaran beliau, Ban Pisang, Bukit Merah berhampiran tempat tinggal beliau.


Haruan Alur Pongsu

Musim banjir yang melanda kawasan Alur Pongsu, Bagan Serai beberapa minggu lalu memberi rezeki kepada rakan rakan kita yang tingga di situ. Kelihatan Din Banjar dan rakannya (Geng Silverstone) sedang beraksi dengan "haruan ganal" tangkapan mereka.


Sawa Sungai Gedong

Ini adalah gambar Sang Sawa yang ditangkap oleh adik saya di dusun kami, berhampiran Kuala Tok Tijah, tiga minggu lalu. Ketika itu beliau sedang membersihkan kebun durian yang sedang menanti masa untuk gugur. Ular tersebut di serahkan kepada Zoo Taiping setelah usahanya untuk menjual mendapat tentangan daripada emak. Sesekali apabila diingatkan, terasa amat ngeri untuk keluar memancing seorang diri. Kepada semua pemancing sungai dan paya berhati-hatilah selalu. Bawalah peralatan perlu yang boleh dijadikan senjata, takut-takut terserempak dengan bahaya-bahaya yang tidak dijangka ini. Sepanjang menceburi arena ini saya pernah terserempak dengan gajah,buaya,ular dan haiwan nakal yang lain seperti kumpulan monyet liar, babi hutan,memerang yang mencuri ikan yang diperolehi, biawak dan pengalaman yang agak lucu bagaimana saya dan rakan memberkas tenggiling yang cuba mencuri umpan yang kami bawa. Tenggiling tersebut berjaya meloloskan diri setelah "mengoyakrabakkan" kain pelikat baru bro Shahrol. Kelakar jugak, sang tenggiling dibalut menggunakan kain pelikat....



Lubuk Kuala Tok Tijah, Sungai Gedong

Sebelum Aidil Adha saya sempat singgah melepaskan rindu di lubuk yang menjadi tempat bertanggak arwah abah suatu ketika dulu. Sempat juga melabuhkan joran dengan tujuan kalau kalau ada baung yang terpedaya dengan umpan tapa yang saya bawa. Malangnya air ketika itu amat surut. Menjoran di sungai yang yang keadaan air pasang surut ni bukanlah minat saya. Tidak ada langsung tarikan ikan besar yang meragut umpan. Hanyalah getusan beberapa ikan kecil. Mungkin juga getusan sang sepit biru yang sekarang ini khabarnya sedang bermusim. Kelihatan juga beberapa kelibat pemancing yang beransur pulang mungkin keadaan air yang tidak mengizinkan. Keadaan sungai juga sudah jauh berubah. Tiada lagi pohon jejawi dan api-api yang merimbun yang suatu ketika dahulu menjadi tempat sang kaloi berteduh. Tidak lama saya di sni, sekitar satu jam lebih dan pulang dengan tangan kosong lagi. Ikan tidak dapat, tangan berbau umpan tapa......





Sabtu, 28 November 2009

TAHNIAH SAIDI B. HJ. SHAFIE

Tahniah kepada Saidi b. Hj. Shafie yang telah selamat diijabkabulkan sebentar tadi kira-kira jam 12.00 tengah hari tanggal 28.11.2009 (Sabtu) dengan pasangan cinta hatinya. Walaupun baru kehilangan ayahanda tersayang dua hari yang lalu namun kehidupan perlu diteruskan. Majlis resepsi sebelah perempuan akan dilakukan pada 19.12.2009 (Kg. Badri, Hutan Melintang) manakala di pihak lelaki pada 26.12.2009 (Sungai Kepar, Simpang 4, Semanggol).


Seluruh sanak saudara mengucapkan Tahniah. Semoga jodoh mereka kekal hingga ke akhir hayat seperti ayahanda dan bonda. Juga sentiasa beroleh kebahagian dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Terima kasih juga kepada keluarga pengantin yang melayan kami dengan mesra.

Rezeki Malam Aidil Adha

Dalam kekalutan menyambut Aidil Adha dan keriangan melaksanakan ibadah Qurban, Abu Afaf di Kenyir sempat MMS gambar di bawah ini. Katanya tangkapan malam Aidil Adha.

Jumaat, 27 November 2009

Selamat Menyambut Aidil Adha 1430 H

Allahhuakbar, Allahhuakbar, Allahhuakbar. Lailahaillahwallahhuakbar Allahhuakbarwalillahhilhamd! 10 Zulhijjah menjelma lagi. Puakajoran blogspot.com mengucapkan selamat menyambut Aidil Adha. Selamat Menjalani ibadah Qurban.Semoga pengorbanan kita diterima.

HJ. SHAFIE B. HJ. MAHAMUD (PAK TIH) DALAM KENANGAN

Hj. Shafie b. Hj. Mahamud @Pak Tih di bawa ke Pahang(rumah anaknya di Felda Mempaga 3) setelah mengadu tidak sihat. Kemudiannya Pak Tih dimasukkan ke Hospital Bentong setelah mengadu sakit kaki dan mengalami bengkak pada muka dan badan. Atas nasihat doktor pakar, beliau kemudiannya di tempatkan di hospital Temerloh dan keadaannya beransur stabil dan pulih. Tanggal 8 Zulhijjah Hari Rabu bersamaan 25 November, kira-kira pukul 6.11 minit petang saya menerima panggilan telefon daripada sepupu menyatakan Pak Tih dalam keadaan tenat di Hospital Temerloh.Dalam suasana sanak saudara bersedia untuk pulang ke kampung untuk meraikan Aidil Adha tiba-tiba saya dikejutkan dengan berita Pak Tih telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 9.00 malam. Bersama adik-adik dan beberapa orang keluarga terdekat kami bergegas ke Bentong menziarahi Pak Tih buat kali terakhir. Al Fatihah .........
Allahyarham Hj.Shafie b Hj. Mahamud
(Kembali ke rahmatullah pada 26.11.2009)

Allahyarham Siti Esah bt Man (Mak Tih)
(Kembali ke Rahmatullah pada 24.11.2006)

Gambar kenangan Pak Tih dan Mak Tih bersama cucu mereka pada tahun 2000

Gambar bawah Pak tih bersama arwah abah pada tahun 1994 (Zainol Abidin b. Man kembali ke rahmatullah pada 14.10.2008)

Sebahagian keluarga Allahyarham Hj. Shafie b. Hj. Mahamud bergambar bersama Hj. Mahamud b. Hj. Alias di Majlis Hari Keluarga Hj. Mahamud dan Hjh. Kalesum pada tahun 2000.


Sebahagian keluarga bergambar bersama Allahyarham Siti Esah bt. Man (Mak Tih)

AL FATIHAH... INGATAN TULUS IKHLAS DARIPADA KAMI MUDAH-MUDAHAN AYAHANDA DAN BONDA DI TEMPATKAN BERSAMA PARA SOLIHIN.

Maskiah bt. Hj. Shafie dan keluarga
Muhammad Saman b. Hj. Shafie dan keluarga
Muhammad Asri b. Hj. Shafie dan keluarga
Saidi b. Hj. Shafie
Shamsiah bt. Hj. Shafie

Semoga semua anggota keluarga dapat bersabar dan redho dengan pemergian Pak Tih dan keluarga kita yang lain secara tiba-tiba dan dalam jarak masa yang agak hampir. Hilanglah sudah tempat kita bergantung dan mengadu. Al Fatihah....

1. Allahyarham Siti Esah bt Man kembali ke rahmatullah pada 24.11.2006
2. Allahyarham Zainol Abidin b. Man kembali ke rahmatullah pada 14.10.2008
3. Allahyarham Khairul Husni b. Zainol Abidin kembali ke rahmatullah pada 18.03.2009
4. Allahyarham Hj. Shafie b Hj. Mahamud kembali ke rahmatullah pada 26.11.2009

Isnin, 23 November 2009

Baru-baru ini saya terima kiriman gambar daripada salah seorang sahabat. Gambar yang dimaksudkan ialah gambar perkahwinan sahabat Puakajoran Sdr. Pendy @ Frozen yang melangsungkan perkahwinan sekitar bulan April lalu. Pada awal perkahwinan, agak senang mengajaknya keluar menjoran namun di akhir-akhir ini begitu sukar memperolehi persetujuan daripadanya. Risik punya risik rupa-rupanya beliau bakal menimang cahaya mata justeru itu banyak masa diutamakan untuk isteri dan anak yang bakal dilahirkan. Ada juga terdengar khabar beliau risau untuk memancing, takut "kenan". Walau apapun tahniah dan doa saya semoga bahagia dan anak yang bakal dilahirkan sempurna dan selamat.

Pendy@Frozen dan isteri di hari bahagia. Kelihatan juga Sdr. Hazrin (Rakan Puakajoran) sebagai pengapit.


Geng Silverstone, Kemunting

Saya sempat bertemu rakan-rakan Puakajoran di sekitar Perak Utara semasa pulang ke kampung untuk meraikan majlis perkahwinan sepupu. Berikut saya paparkan koleksi gambar mereka dengan aksi tersendiri ketika memancing di Sungai Kampung Dew dan Sungai Kurau, baru-baru ini.










Rabu, 18 November 2009

Tiga Kali Mangkau

Sepanjang dua minggu ini saya sempat juga melepaskan "gian" menjoran di pot-pot yang sebelum ini tidak pernah menghampakan. Gerakan solo saya sebanyak 3 kali di pot-pot yang berlainan itu tidak bersambut. Usahkan memperolehi sang Kelah maupun jelawat, getusan ikan kecil pun tiada. Menjadi seorang penjoran ni memerlukan banyak kesabaran. Berikut saya paparkan pot-pot kecundang saya. kalangan rakan-rakan Puakajoran di sini menyebut "Mangkau".


Pot Sg Tunjung, Felcra Cangkat Sulaiman, Sungkai 18 Nov.2009.

Pot Kerbau, Sg. Cenderiang 15 Nov 2009.

Lubuk Sg. Sungkai 4 Nov 2009