Isnin, 31 Mei 2010

Gaza berkabung

KUALA LUMPUR, 31 Mei: Sekurang-kurangnya 20 orang telah meninggal dunia dalam serangan ganas tentera zionis Yahudi dan masih ada kemungkinan akan terus bertambah serta lebih daripada 50 orang lainnya mengalami kecederaan, lapor laman web Haluan Palestin.Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyatakan hari berkabung selama tiga hari di seluruh wilayah Palestin sebagai penghormatan terhadap para korban serangan kejam Israel ke atas konvoi Freedom Flotilla yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

Perdana Menteri Palestin daripada Hamas, Ismail Haniyah juga mendeklarasikan aksi mogok beramai-ramai sebagai tanda berkabung untuk para korban dan tercedera akibat serangan Israel yang terjadi hari ini terhadap para aktivis kemanusiaan.Di antaranya adalah Syeikh Raed Salah, ketua Gerakan Islam di Palestin, yang mengalami luka serius akibat serangan tentera Zionis ke atas kapal-kapal Freedom Flotilla.

Ismail Haniyah juga berkata dalam kenyataannya kepada media bahawa mereka yang bersama konvoi bantuan Gaza sebagai pahlawan bangsa Palestin, dan Hamas mendesak para pemimpin Arab untuk mengambil langkah-langkah praktikal untuk mengakhiri pengepungan Gaza.
“Pemerintah Palestin di Gaza menghormati usaha konvoi armada freedom flotilla untuk memecahkan pengepungan terhadap Gaza,” kata Ismail lagi.“Kami menganggap semua yang terkorban dan tercedera dalam serangan tersebut sebagai syuhada Palestin, syahid atas usaha mereka merobohkan pengepungan terhadap Gaza,” tambahnya.

(12.30 tengah hari waktu Malaysia) – Israel dilaporkan telah merampas kapal-kapal konvoi Freedom Flotilla. Dilaporkan jumlah kematian meningkat kepada 16 orang dan lebih dari 30 orang cedera ketika pasukan Israel menyerang kapal-kapal Freedom Flotilla pada pagi ini, menurut laporan dari Radio Tentera Darat Israel.

Laman web Haluan Palestin melaporkan, konvoi kemanusiaan itu diserang ketika menghampiri 65 km dari pantai Gaza. Mereka juga berkata kapal-kapal itu sekarang sedang ditarik ke bandar Haifa Israel, bukan ke Asdod untuk mengelakkan wartawan menunggu di sana.
Wartawan Al Jazeera, Elshayyal Jamal yang berada dalam kapal Mavi Marmara, mengatakan bahawa tentera Israel telah menggunakan peluru hidup ketika mereka memasuki dan merampas kapal.

Menurut wartawan Ayman Mohyeldin dari Al Jazeera yang melaporkan dari Baitulmuqaddis, berkata tindakan Israel itu mengejutkan.“Semua gambar yang dipaparkan dari para aktivis di kapal-kapal menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah warga awam dan bertujuan membawa misi kemanusiaan dengan bekalan perubatan di atas kapal. Tindakan Israel ini pasti akan mengejutkan masyarakat antarabangsa atas apa yang telah mereka lakukan,” katanya.
Ketika ini, ribuan masyarakat Turki mengadakan demonstrasi aman di hadapan kedutaan Israel.

Untuk makluman, seramai lapan orang wakil sukarelawan dari Malaysia berada dalam konvoi kemanusiaan tersebut di atas kapal Mavi Marmara yang diketuai oleh Sdr Noorazman Shamsudin dari HALUANPalestin bersama empat orang lagi juga dari HALUANPalestin dan baki dari Yayasan Amal Malaysia, Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Muslim Care.
Pihak Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) Malaysia masih belum menerima sebarang berita akan situasi dan keadaan mereka di sana memandangkan jalur perhubungan dengan pihak kapal telah terputus.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) akan mengadakan sidang media tergempar pada hari ini (Isnin, 31 Mei 2010) berhubung perkembangan serangan Israel terhadap Armada Bantuan Kemanusiaan Gaza atau Freedom Flotilla pada jam 3.00 petang bertempat di Hotel De Palma Inn, Seksyen 19, Shah Alam. Semua wakil media dijemput hadir.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi; Saudara Solehuddin Shuib, Setiausaha CMT-LL4G Telefon: 019 5511 600.Marilah sama-sama kita berdoa agar diselamatkan sukarelawan NGO yang berada di atas kapal dan Allah SWT sentiasa memberikan keselamatan dan kebaikannya kepada mereka. Walau apapun yang berlaku diharapkan mereka sentiasa ikhlas dan mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Untuk mengikuti lintas langsung perkembangan tersebut, sila layari http://www.livestream.com/insaniyardim/

Kenangan Mengusik Jiwa

Hujan yang turun merenyai sejak tadi kadangkala menjadi lebat. Tidak terduga paras air membanjiri ruang kaki lima tempat saya bertugas.Lantas teringatkan nostalgia silam. Ketika masih belajar di sekolah rendah dahulu, Sekolah Kebangsaan Kampung Tua, sekolah kami yang di kelilingi sawah padi. Pada ketika itu, ikan sawah seperti haruan,keli,sepat dan puyu usah dikira banyaknya.Jika keadaan air naik ini berlaku pada waktu itu, kami yang masih kanak-kanak bukan main lagi sukanya. Menyekat longkang-longkang di sekitar sekolah untuk menangkap ikan sepat dan anak-anak keli yang mudik. Pada malamnya pula sebahagian dari kami akan menyusur sawah yang ditakungi air secara mendadak itu, untuk menyuluh dan menangkap ikan yang naik dengan menggunakan alat yang disebut serampang. Tidak kurang juga yang menggunakan parang panjang untuk "menetak" ikan-ikan yang mudik mengikut air.Kini semuanya tinggal kenangan, semuanya telah berubah.Tiada lagi sepat,keli,haruan dan puyu mudik mengikut arus di permatang sawah.

Sabtu, 29 Mei 2010

Karangan Lokan

Ini adalah karangan kulit lokan yang ditemui lebih kurang 20 tahun dulu oleh arwah Hj. Shafie b Hj. Mahmud (bapa saudara) ketika memugar hutan untuk dijadikan sawah. Masih saya ingat, ketika itu usia saya sekitar awal belasan tahun. Kebetulan tanah arwah bapa saya bersebelahan tanah beliau.
Lokan (Polymesoda expansa) adalah sejenis moluska dwicangkerang yang banyak terdapat di lumpur pinggir laut. Lokan adalah sejenis haiwan bercengkerang (kerang-kerangan) yang boleh dimakan tetapi, tidak seenak tiram.
Gambar ini saya rakam sewaktu pulang ke kampung hujung tahun lalu meraikan sepupu yang berkahwin. Ketika berkemas saya terpandang objek ini lantas mengingatkan kenangan silam.
Arwah bapa saya ketika usia mudanya gemar memancing sembilang dan mencari lokan sebagai pencarian sampingan. Masa-masa terluang menantikan padi masak, dia dan rakan-rakan berkunjung ke lokasi Sungai Protan, Sungai Pinang dalam mukim Selinsing untuk memancing sembilang dan mencari lokan.
Hobinya mencari lokan dihentikan sekitar hujung tahun 70-an akibat satu peristiwa. Masih jelas dalam ingatan, seluruh kampung gempar. Abah dan rakan-rakannya tidak pulang walaupun hari sudah pagi. Biasanya dia akan pulang sekitar jam 7.00 malam.
Datuk dan orang-orang kampung bergegas ke lokasi pada malam itu juga membuat gerakan mencari. Pukul 4.00 pagi mereka pulang dengan kehampaan. Yang tinggal hanya jejak pergi, jejak pulang tiada. Dalam keadaan gelap, semak pohon nipah dan bakau dan disusuli air pasang ketika itu, menyukarkan gerakan mencari.
Gerakan mencari diteruskan esoknya.Di rumah, emak menangis. Kami adik beradik terpinga-pinga tidak tahu hujung pangkal.Keesokkan harinya, pasukan pencari bergegas semula ke lokasi. Sesampai sahaja di sana, rupa-rupanya abah dan rakan-rakannya telahpun keluar dari hutan dengan keadaan keletihan. Puaslah mereka menahan telinga dek kata-kata pedas kumpulan pencari.

Dari cerita abah, mereka mendengar panggilan pasukan pencari pada malam tersebut dan membalas dengan pekikan dan ketukan kayu dan botol namun isyarat mereka mungkin tidak didengari. Mereka bergerak untuk pulang sekitar jam 5 petang, namun malang menimpa, lorong keluar seolah-olah ditutup.Mereka berpusing-pusing di lokasi yang sama sehinggalah hari beransur gelap dan air pasang. Agak aneh, lokasi tersebut sudah mangli dengan mereka. Sudah berpuluh kali mereka ke sana.Masakan boleh tersesat.

Ketika tersesat dan bekalan makanan telah habis, ada kalangan mereka yang menghirup air lokan untuk menghilangkan dahaga. Ada pula yang memakan lokan mentah sebagai pengalas perut.

Setelah keadaan pulih dan tidak kecoh lagi, rakan-rakan abah membuka cerita. Ada seorang dua rakan yang bermulut celupar, bercakap agak besar. Antaranya berkata " Aku, hari ini jika tidak dapat 1 guni lokan, aku tidak akan balik". Mungkin kebetulan dengan permintaan itu, hasil yang dipinta tidak dapat, abah dan rakan-rakannya terpaksa bermalam di hutan bakau bertemankan suara harimau, babi hutan dan gigitan nyamuk.

Sejak hari itu abah tidak lagi mencari lokan hinggalah ke akhir usianya dan aku teringin benar menikmati rendang lokan. Masih terbau-bau haruman rendang lokan masakan emak yang sudah hampir 30 tahun tidak aku nikmati.

Khamis, 27 Mei 2010

Santai di Sungai Pahang

Panorama Sungai Pahang pada awal pagi. Lokasi berhadapan Jambatan Sultan Ahmad Syah, Cenor.Sahabat kita Ustaz Dusuki bersantai mencuba nasib di tempat kelahiran sendiri. Oleh kerana air yang agak tohor dan keruh, tiada hasil yang diperolehi ketika itu.

Jambatan ini memberikan nostalgia kepada penduduk Pahang. Masih dalam ingatan, di atas jambatan itulah DYMM Sultan Pahang bersama penduduk menikmati hidangan tengah hari ketika acara perasmian dilangsungkan.Sumber: Ustaz Dusuki.

Rabu, 26 Mei 2010

Pohon Ara Jejawi

Pohon Ara atau jejawi, sinonim dengan sungai. Buahnya yang masak dan gugur ke dalam sungai menjadi makanan ikan. Akarnya yang terjuntai,berselirat dan bergumpal-gumpal dapat menjadi habitat atau sarang ikan. Pohonnya yang besar dan merungkup kadangkala menyeramkan.Di kalangan kaki pancing sungai dan sebahagian orang Melayu, pohon ini selalu dikaitkan dengan makhluk halus atau berpenunggu. Apa kata rakan-rakan dan kaki pancing sekalian....

Selasa, 25 Mei 2010

Mayat Berjalan‏

Fw: [Email Menarik] Mayat Berjalan‏
afiq hamran (afiqhamran@yahoo.com.my)
Thursday, 25 May, 2010 12: 46 AM


Di Kg Toradja (Indonesi) terdapat satu ilmu yg luar biasa dimana mereka boleh menjadikan mayat berjalan pulang ke rumah sendiri. kejadian berlaku disebuah daerah pendalaman Indonesia yg berbukit bukau. Jika ada kematian di kg Toradja maka mayat itu akan diberi kuasa hipnotisme supaya simati boleh pulang berjalan kaki dan hanya berhenti bila sampai dirumahnya. kuasa ini dibuat supaya tidak menyusahkan orang kg dari mengurus mayat tersebut.

Ahad, 23 Mei 2010

Puaka Sungai Dulang, Realiti atau Fantasi

Sabtu-22 Mei 2010 ,saya dan rakan menziarahi seorang Pakcik, di Nilai Negeri Sembilan. Berumur lingkungan hujung 60 an.Tinggal bersama anaknya.Beliau kami lihat seperti mengidap penyakit stroke berpandukan kepada keadaaan tangannya .Kami berbual tentang punca beliau mengalami sakit tersebut.


Dia membuka cerita, seminggu sebelum dia dimasukan ke hospital, dia ke Sungai Dulang di Bagan Datoh untuk memancing bersama 5 orang rakan.Beliau menceritakan tentang keistimewaan bot yang dilengkapi kemudahan solat diatasnya,juga keistimewaan Sungai Dulang yang menjadi "port" udang.Sudah lima kali beliau dan rakan berulang alik dari Nilai ke sana semata-mata untuk memancing.

Penyakit itu menyerang beliau secara tiba-tiba setelah seminggu pulang dari memancing di Sg Dulang .Amat tidak disangka, beliau tidak boleh bercakap dan tubuh tidak boleh bergerak. Lantas dimasukkan ke hospital. Walhal sebelum ini beliau tidak mengidap darah tinggi mahupun kencing manis.Adalah sukar untuk mempercayai bahawa penyakit itu adalah stroke. Doktor yang merawat juga menidakkan. Menurut doktor, keadaan kesihatan pak cik tersebut adalah baik dan disuruh pulang, namun yang menjadi persoalan dan halangan, keadaan dia yang tidak dapat bercakap.

Ketika doktor dalam keadaan berbelah bahagi untuk memberi keputusan samaada beliau boleh pulang atau tidak, tiba tiba pakcik tersebut boleh bercakap.Doktor terus membenarkannya pulang.Beliau pulang dalam keadaan tangan kanan yang tidak berupaya diangkat. Kini setelah 3 bulan berlalu ada sedikit perubahan.Dengan rawatan kampung (urut) yang berterusan.

Akhir bicaranya, pakcik itu menyatakan mungkin kesilapannya semasa pergi memancing pada hari tersebut beliau terlupa untuk "beringat" atau berdoa seperti kelazimannya.Akibat terlalu teruja untuk memancing.

Cerita dikirim oleh : Abu Afaf

Sabtu, 22 Mei 2010

Sekali Banjir Kilat Melanda

Pemandangan di hadapan rumah sewa saya semalam. Hujan turun lebat, tersangat lebat. Lurah kecil yang besar sedikit daripada longkang menjadi anak sungai yang deras arusnya. Masih dalam ingatan, beberapa tahun dahulu di lurah ini, saya dan En. Syahrul (Rakanpuaka) menghabiskan masa petang menggewang haruan. Adakalanya kami menjoran keli paya selepas hujan , namun kini tidak lagi setelah masing-masing sibuk dengan tugas tersendiri dan telah berpindah tempat tinggal.

Jumaat, 21 Mei 2010

Rohu Lombong Batu Gajah

Dalam perjalanan ke tempat kerja sebentar tadi, singgah sebentar minum pagi. Terserempak dengan rakan pancing En. Sabri. Beliau memberikan gambar rakan-rakan sedang "berseronok" di sebuah lombong sekitar Batu Gajah, Perak dua hari lepas.


Tongsan sisik halus.Wak Darus dengan hasil pancingannya - Rohu.


En. Sahar dua ekor rohu seberat hampir 5 kg.


Abang Ramli Mahat - Rohu
En. Mat Jelani juga tidak kecundang.



Khamis, 20 Mei 2010

Buaya Sungai Sungkai Timbul Lagi

Semalam saya sempat berbual dengan Apoi Renjer Kabloi dan rakan-rakan penjoran lain di sebuah kedai kopi. Mereka memberikan rakaman terbaru sang bedal penghuni lubuk 6B yang pernah saya temui bersama-sama Tok Pawang pada hujung tahun lalu . Rakan-rakan lain yang ingin menyaksikan spesis yang semakin pupus ini timbul, bolehlah berkunjung ke lokasi.





Selasa, 18 Mei 2010

Hasil Perairan Pangkor

Sempat santai di "Kedai Kopi Derih" lewat petang semalam, terserempak seorang rakan vateran sedang ngopi. Beliau memberikan beberapa keping gambar ikan sewaktu beraksi di Perairan Lumut beberapa minggu lalu. Hati jadi sangat teruja lantaran sudah lama tidak beraksi.....







Isnin, 17 Mei 2010

Santai Bersama Keluarga

Ahad tadi sempat berhujung minggu besama keluarga.Berbekalkan hasil pancingan siang tadi, Pak Su @ Cepoi dan keluarga berBBQ bersama saudara yang pulang bercuti. Sesekali dapat berkumpul terasa kemesraan dan jalinan kekeluargaan.