Sabtu, 29 Mei 2010

Karangan Lokan

Ini adalah karangan kulit lokan yang ditemui lebih kurang 20 tahun dulu oleh arwah Hj. Shafie b Hj. Mahmud (bapa saudara) ketika memugar hutan untuk dijadikan sawah. Masih saya ingat, ketika itu usia saya sekitar awal belasan tahun. Kebetulan tanah arwah bapa saya bersebelahan tanah beliau.
Lokan (Polymesoda expansa) adalah sejenis moluska dwicangkerang yang banyak terdapat di lumpur pinggir laut. Lokan adalah sejenis haiwan bercengkerang (kerang-kerangan) yang boleh dimakan tetapi, tidak seenak tiram.
Gambar ini saya rakam sewaktu pulang ke kampung hujung tahun lalu meraikan sepupu yang berkahwin. Ketika berkemas saya terpandang objek ini lantas mengingatkan kenangan silam.
Arwah bapa saya ketika usia mudanya gemar memancing sembilang dan mencari lokan sebagai pencarian sampingan. Masa-masa terluang menantikan padi masak, dia dan rakan-rakan berkunjung ke lokasi Sungai Protan, Sungai Pinang dalam mukim Selinsing untuk memancing sembilang dan mencari lokan.
Hobinya mencari lokan dihentikan sekitar hujung tahun 70-an akibat satu peristiwa. Masih jelas dalam ingatan, seluruh kampung gempar. Abah dan rakan-rakannya tidak pulang walaupun hari sudah pagi. Biasanya dia akan pulang sekitar jam 7.00 malam.
Datuk dan orang-orang kampung bergegas ke lokasi pada malam itu juga membuat gerakan mencari. Pukul 4.00 pagi mereka pulang dengan kehampaan. Yang tinggal hanya jejak pergi, jejak pulang tiada. Dalam keadaan gelap, semak pohon nipah dan bakau dan disusuli air pasang ketika itu, menyukarkan gerakan mencari.
Gerakan mencari diteruskan esoknya.Di rumah, emak menangis. Kami adik beradik terpinga-pinga tidak tahu hujung pangkal.Keesokkan harinya, pasukan pencari bergegas semula ke lokasi. Sesampai sahaja di sana, rupa-rupanya abah dan rakan-rakannya telahpun keluar dari hutan dengan keadaan keletihan. Puaslah mereka menahan telinga dek kata-kata pedas kumpulan pencari.

Dari cerita abah, mereka mendengar panggilan pasukan pencari pada malam tersebut dan membalas dengan pekikan dan ketukan kayu dan botol namun isyarat mereka mungkin tidak didengari. Mereka bergerak untuk pulang sekitar jam 5 petang, namun malang menimpa, lorong keluar seolah-olah ditutup.Mereka berpusing-pusing di lokasi yang sama sehinggalah hari beransur gelap dan air pasang. Agak aneh, lokasi tersebut sudah mangli dengan mereka. Sudah berpuluh kali mereka ke sana.Masakan boleh tersesat.

Ketika tersesat dan bekalan makanan telah habis, ada kalangan mereka yang menghirup air lokan untuk menghilangkan dahaga. Ada pula yang memakan lokan mentah sebagai pengalas perut.

Setelah keadaan pulih dan tidak kecoh lagi, rakan-rakan abah membuka cerita. Ada seorang dua rakan yang bermulut celupar, bercakap agak besar. Antaranya berkata " Aku, hari ini jika tidak dapat 1 guni lokan, aku tidak akan balik". Mungkin kebetulan dengan permintaan itu, hasil yang dipinta tidak dapat, abah dan rakan-rakannya terpaksa bermalam di hutan bakau bertemankan suara harimau, babi hutan dan gigitan nyamuk.

Sejak hari itu abah tidak lagi mencari lokan hinggalah ke akhir usianya dan aku teringin benar menikmati rendang lokan. Masih terbau-bau haruman rendang lokan masakan emak yang sudah hampir 30 tahun tidak aku nikmati.

2 ulasan:

  1. Seronoklah tengok kerang besar2. Teringat semasa pergi pulau burung sekitar Labuan ni, dapat kerang sekarung. Maklumlah anak nelayan, bab-bab mcm ni memang seronok.

    BalasPadam
  2. Teringat pulak masa mak saya masak rendang lokan... Memang sedap dari rendang kerang... Mungkin sebab isinye besar2 kot...
    Ada entry pasal lokan...

    http://chilabaeys.blogspot.com/2009/12/siangnya-kami-bergumbira-tapi-malam-tu.html

    BalasPadam