Rabu, 29 September 2010

Patin SKC Lagi, Harap - harap Bukanlah Patin Yang Terakhir

Sebentar tadi saya terserempak dengan rakan-rakan sedang bergerak menuju lokasi memancing. Terima lagi aksi terkini Rakanpuaka dengan patin SKC. Patin ini didaratkan dua hari sebelum menjelang Aidil Fitri. Beratnya 3 kg. Kali ini tidak lagi beraksi dengan patin yang didaratkan oleh rakan-rakan sebaliknya didaratkan sendiri oleh Ali Burger. Merasa juga tarikan patin lubuk SKC. Menurut rakan-rakan, patin begitu galak sekarang ini. Kerap kali mereka terlihat kelibat patin bermain arus dan menangkap sampah atau daun kayu yang hanyut di sungai tersebut. Harapan saya, patin yang didaratkan oleh Ali ini bukanlah patin yang terakhir.

Kepuasan...akhirnya dapat juga menjinakkan patin lubuk SKC.

Adik pemancing tegar, sedang beraksi dengan patin yang didaratkan oleh Ali.
Seorang rakan turut beraksi.

Selasa, 28 September 2010

Santai Menjoran Lampam Kolam Bukit Merah

Dari Tasik Kenyir ke Tasik Bukit Merah. Abu Afaf,dua minggu selepas sambutan Raya Aidil Fitri, adik beradik berkampung semula di desa kelahiran. Disamping mengadakan majlis tahlil untuk arwah ayahanda, mereka sempat menghabiskan masa bersantai memancing lampam di Tasik bukit Merah. Aktiviti bukan sekadar santai tetapi untuk "memanaskan" saya yang tidak pulang pada hari tersebut kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan.


Santai hingga malam menjelang.















Kepenatan hingga tertidur.












Ahad, 26 September 2010

Lampam SKC

Beberapa hari setelah Edy Samin berjaya menjinakkan patin seberat 5 kg, sekali lagi Ali Burger mengunjugi Pot Kelabau SKC. Kali ini tiada patin atau kelabau yang mahu meragut umpan. Ali terpaksa akur dengan rezeki seekor lampam jawa hampir 1 kg di tuas tersebut.

Sabtu, 25 September 2010

Lagi Patin dan Kelabau SKC Tewas di Tangan Rakanpuaka

Hari ini saya tidak ke mana-mana. Juragan Nizam, Cepoi serta beberapa rakan lain turun ke pot udang Ulu Basir sebentar tadi. Laporan yang saya terima keadaan air agak besar dan keruh pula dan mungkin menjejaskan aktiviti. Tidak menjadi hal bagi kaki pancing tegar. Di mana ada usaha, di situ ada rezeki. Kesempatan yang terluang ini saya paparkan kelabau dan patin yang ditumpaskan oleh rakan-rakan, seminggu sebelum Syawal menjelang. Patin seberat 5 kg ini ditewaskan oleh Rakanpuaka Edy Samin (tidak kelihatan kerana agak keberatan gambar dirakamkan). Kelabau 1.8 kg pula ditewaskan oleh Ali Burger pada hari yang sama.
Ali Burger beraksi dan boleh dianugerahkan gelaran "Model Patin dan Kelabau" untuk tahun ini.



Gambar kenangan patin yang ditewaskan oleh Wan Acat.
Sumber: Ali Burger untuk Puakajoran.blogspot.com

Misi Menjinakkan Kelabau Ulu Basir

Misi ini dilaksanakan pada hari yang sama dengan Misi Memburu "Jenggo" Ahad lepas. Lebih kurang pukul 4.00 petang kami bergerak turun ke tuas kelabau yang dikenal pasti oleh Juragan Nizam sejak sekian lama.
( Olympus Digital Cam-12 Megapixel)


Setelah sampai, Juragan Nizam segera melontarkan umpan kegemaran kelabau . Saya hanya mengambil langkah tunggu dan lihat dan lebih kepada melayan Si Sepit Biru. Apa tidaknya, ketika itu air mulai pasang. Udangpun galak "melantak" umpan. Sedang leka melayan udang, tiba-tiba kelibat kelabau bermain di permukaan air mula kelihatan. Baru sahaja berkira-kira untuk mencangkuk sawit masak merah yang menjadi kegemaran kelabau, tiba-tiba joran kepunyaan Juragan Nizam menerima sentapan dan membongkok. Pastinya kelabau sedang cuba melepaskan diri. Saya sempat merakamkan aksi Juragam Nizam mendaratkan kelabau tersebut.
( Olympus Digital Cam-12 Megapixel)
( Olympus Digital Cam-12 Megapixel)
Setelah suasana tenang, saya juga melontarkan umpan ke lubuk. Tidak sampai 15 minit, joran saya pula membongkok dan menerima lenturan. Berikut sebahagian aksi saya. Sesi bergambar tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna kerana hujan mulai turun.

(Sony Digital Cam-10 Megapixel)

Dua ekor kelabau yang kami tewaskan pada hari tersebut. Kelabau seberat 1.5 kg berjaya ditumpaskan oleh Juragan Nizam.

Saya hanya berpuas hati dengan kelabau seberat 920 gram.
Terus disiangkan pada malam itu juga untuk hidangan keluarga.
Hidangan makan malam Juragan Nizam dan keluarga pada malam itu. Kelabau Masak 3 Rasa, menu istimewa "SAM" Taukeh Kedai Makan Terapung Kolam Along, Felda Besout 2.

(Sony Digital Cam-10 Megapixel)
Tips untuk menjinakkan kelabau Ulu Basir.
1. Pastikan air tidak keruh.
2. Kelabau mula aktif ketika air mulai pasang.
3. Galak memakan umpan ketika cuaca cerah (ada cahaya matahari).
4. Gemar memakan sawit masak ( boleh guna sebiji atau dipotong dadu).
5. Juga gemar sawit busuk tapi tidak tahan lama kerana udang juga gemar memakan sawit.
6. Gunakan mata "helang"bersaiz 12(Juragan Nizam) atau 13 dan 14 (Tokan).
7. Perambut berkualiti sekurang-kurangnya 25 lbs.
8. Jika sudah mengena, jangan beri peluang kelabau menyusup ke bawah bangkar.
9. Perlu juga berhati-hati sewaktu mendaratkan ikan kerana bibir kelabau amat lembut dan kecil seperti terbul.
10. Kelabau direkodkan oleh rakan-rakan lebih 4 kg di Batu 6,Teluk Intan. SKC - 3 kg manakala sekitar Ulu Basir beratnya bawah 2.5 kg.

Teknik Mengumpan
( Olympus Digital Cam-12 Megapixel)



Paparan seterusnya, Aksi sebelum Syawal Ali Burger dan rakan-rakan menjinakkan Patin SKC. Nantikan....