Sabtu, 11 Disember 2010

Meninjau Lubuk

Cuti sekolah yang agak panjang dan lama memberi ruang kepada saya untuk santai sambil meninjau lubuk tengas atau kelah yang ada berhampiran tempat tinggal saya. Saya sempat singgah di Sungai Bill yang agak popular sebagai tempat rekreasi dan bermandi manda oleh masyarakat setempat dan kawasan selatan negeri Perak. Ini kali keempat saya berkunjung ke sini. Dari pengamatan saya melalui celahan batu dan jeram yang deras airnya, kelihatan anak-anak tengas dan ikan-ikan lain berenang pantas. Jika ada anak-anaknya, pasti ada ibunya. Menurut rakan-rakan yang pernah bermastautin atau menjalankan aktiviti menjala dan menjoran di sini, adakalanya memperolehi tengas seberat hampir 2 kg. namun kebiasaannya tengas yang diperolehi bersaiz lengan kanak-kanak. Lubuk ini sentiasa sibuk dan dikunjungi oleh tetamu terutama pada cuti hujung minggu.Saya kurang berminat untuk menjoran dalam situasi begini. Saya lebih gemar beraktiviti (menjoran)di lokasi yang jarang dikunjungi  ataupun lokasi yang agak terpencil. Kesempatan hari ini saya gunakan untuk membiarkan "Si Kecil" saya belajar berenang dan menyelam.







 




















1 ulasan: