Khamis, 30 Jun 2011

Ketam Lembut dan Isi Ketam Kuala Gula

Ketam lembut begitu sinonim dengan lokasi ini. Ketam nipah bersaiz kecil ditangkap, diproses dengan teknik tertentu dan diternak semula di dalam sangkar dalam jangka masa tertentu bagi mendapatkan ketam lembut.Keseluruhan ketam ini akan menjadi lembut dan mudah untuk dimakan. Pengunjung yang bertandang ke sini bolehlah mencuba sajian daripada ketam ini yang disediakan oleh pemilik restoran terapung yang terletak berhampiran pusat jualan ini.Harga jualan ketam lembut mentah ketika ini ialah RM 30/kg.

 Pusat penjualan ketam lembut dan isi ketam.
 Umpan, perumpun turut dijual di sini.
 Chalet Kuala Gula, lokasi sesuai untuk santai bersama-sama keluarga. Sewa yang dikenakan berpatutan.


 Sangkar, tempat ketam lembut diternak.




Ketika kunjungan ke sini, saya gagal mendapatkan ketam lembut untuk santapan keluarga kerana kehabisan stok. Hanya sempat membeli ketam biasa (nipah) yang dijual dengan harga RM 13/ kilo dan siput sudu yang dijual dengan harga RM6/kg.

Selasa, 28 Jun 2011

Lumba-lumba (dolphin) Kuala Gula

Beberapa aksi yang sempat saya rakamkan ketika menjoran di Kuala Gula. Masih ada lagi hidupan ini yang sudi berkunjung ke kawasan ini. Sebelum ini saya pernah saksikan aksi-aksi begini sekitar 15 tahun dulu, ketika menjoran di daerah yang sama. Faktor penyebab ikan-ikan ini berkunjung ke sini berkemungkinan di laut lepas mengalami gelombang atau tiupan angin kencang. Selain itu kemungkinan juga banyak ikan kecil yang berhijrah ke sini sebagai sumber makanan hidupan ini. Apapun kita masih bersyukur kerana spesis ini tidak pupus dan dapat dijadikan warisan kepada generasi akan datang.



















Isnin, 27 Jun 2011

Misi Jenahak,Trip Ulangan Ke Kuala Gula

Mengambil kesempatan cuti hujung minggu. Seperti yang dirancang, kami bergerak seawal pukul sembilan malam hari Sabtu . Bertamu di Kampung Parit 4 Selingsing di rumah Ketua Kampung yang juga bapa saudara kepada Shahrul (Mat Trolak). Terima kasih tidak terhingga kepada beliau dan keluarga yang menyambut kehadiran kami dengan mesra. Pagi hari Ahad, kami bergerak agak awal ke Kuala Gula setelah mendapatkan bekalan umpan dan sedikit makanan di sebuah warung kopi di persimpangan masuk ke kampung Sungai Pinang,Selinsing.

Tiba di pengkalan Kuala Gula kami menikmati sarapan pagi, nasi putih, rendang kerang serta kari sembilang. Enak juga sarapan sambil ditiup bayu bagi sepoi-sepoi bahasa. Lima belas minit kemudian kami bertolak ke destinasi dengan bot yang dipandu oleh tekong Wahab. Sasaran kami, sembilang sirip merah dan jenahak Kuala Gula.

Pada awal perjalanan kami, kelihatan air yang jernih dan agak tenang. Harapan untuk menjinakkan sembilang dan jenahak hampir menjadi nyata. Mungkin dapat mengubat kekecewaan pada minggu lepas.

Tiba-tiba kami disergah oleh sekumpulan ikan lumba-lumba (akan saya paparkan kemudian). Petanda awal kemungkinan nasib yang kurang baik. Setelah menyaksikan beberapa formasi lumba-lumba tersebut, kami bergerak menuju "pot" pertama. Telahan kami tepat, tidak semena-mena bayu yang bertiup perlahan bertukar menjadi kencang. Kami kebasahan dan dilambung gelombang. Kami membatal rancangan untuk ke laut lepas. Mengubah haluan ke teluk-teluk yang terlindung daripada tiupan angin.

Nelayan tempatan sedang menyodok kerang, fenomena yang sering kelihatan di Kuala Gula sejak dulu.
Huluran umpan kami disambut agak ramah. Joran juragan Nizam kerap menerima lenturan yang agak kasar. Sehingga sentapan yang kelima, beliau masih gagal mendaratkan mangsa. kesemuanya berpunca daripada penggunaan tali pancing dan perambut dibawah 30 lbs. Putus dek sentapan Sang Jenahak. Salah percaturan.Kami kira, jenahak (tetanda) bawah 1kg. dapat kami daratkan hanya dengan aksi lebik kurang sahaja. Rupa-rupanya memerlukan kekuatan tali atas 30 lbs juga. Mat Trolak juga menerima nasib yang sama. Akhirnya kami menggunakan peralatan kecemasan, tali benang 40 lbs sebagai tali utama dan perambut tangsi 40lbs.Akhirnya dapatlah mendaratkan beberapa ekor jenahak (tetanda) bersaiz bawah 1 kg ini.


 Gelama masih mendominasi hasil pancingan kami.
 Sesekali sembilang juga menjadi mangsa.
Sehingga ke akhirnya kami hanya berlegar-legar sekitar kawasan terlindung. Di luar sana angin masih bertiup kencang dan menghalang kami bergerak bebas. Terpaksalah berpuas hati dengan apa yang diperolehi.

Jumaat, 24 Jun 2011

Golok Teman Setia Penjoran

Salah satu peralatan yang perlu ada pada seseorang pemancing ialah golok, parang atau pisau. Kegunaanya dari merintis jalan hinggalah kepada memotong umpan ataupun memotong tali perambut. Di samping itu, golok atau pisau juga mungkin berguna disaat berlakunya kecemasan, sebagai contoh, untuk memotong anak-anak kayu untuk dibuat teduhan atau memotong tali pancing yang tersangkut.Golok juga boleh dijadikan penambah semangat, jika menjoran berseorangan.

 
Saya paparkan sebilah pisau kecil hasil kerja tangan Tok Kie http://golokkraf.blogspot.com/ untuk salah seorang pelanggannya. Istimewanya pisau ini ialah corak kayunya yang menarik. Kayu ini diperolehi daripada salah seorang sahabat blogger yang bermastautin di negeri Sarawak. Kayu "ranggu" mungkin tidak terlalu asing kepada orang Sarawak namun bagi saya, kayu ini amat istimewa. Ketika ini saya belum lagi memiliki golok atau pisau yang diperbuat daripada kayu jenis ini tetapi bongkah kayunya telahpun saya perolehi daripada sahabat blogger negeri Sarawak. Bilahnyapun telah ditempah khas... hanya menanti Tok Kie menyiapkannya.




Sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan golok,parang atau pisau bolehlah menghubungi Tok Kie di sini. Harga yang ditawarkan berpatutan.

Rabu, 22 Jun 2011

Sekitar Santai Joran di Kuala Gula

Sabtu 18 Jun 2011.Seperti yang dirancang trip ke Kuala Gula untuk sesi meninjau lokasi berjalan lancar. Kami tiba di lokasi lebih kurang pukul 8.00 pagi. Singgah di sebuah lokasi menjual umpan pumpun, RM 6.00 / pek atau lebih kurang 60 sekilogram. Jauh lebih murah berbanding di sesetengah lokasi di sebuah negeri jiran (Selatan Perak).Pernah menjadi sejarah perjalanan joran kami, seekor pumpun dijual dengan harga RM 10. Agak melampau.



Di lokasi, tekong Wahab telah sedia menanti. Beliau memaklumkan keadaan air (16) tidak sesuai untuk menjoran. Arus agak deras dan keruh. Kami memaklumkan tujuan kami adalah untuk meninjau lokasi. Selepas menikmati sarapan kamipun bergerak. Singgah di beberapa lokasi.

Hingga ke petangnya, kami hanya memperolehi 6 ekor sembilang. Hampir separuh bekas kami dipenuhi ikan gelama.

Kelihatan chalet yang dibina di sepanjang pengkalan nelayan Kuala Gula. Sewanya agak murah dan berpatutan. Sesuai untuk bermalam bersama-sama keluarga sambil menjoran sembilang.


Restoran terapung yang menyediakan ikan segar (ikan sangkar)sebagai menu utama.

Sejurus selepas melewati Pengkalan Nelayan Kuala Gula.



Haji Mazlan mendaratkan seekor sembilang bersaiz kecil.

Bakar Arang Lama, lubuk kegemaran kaki pancing sembilang. Saya mendaratkan 3 ekor sembilang di sini. Di sini juga kami temui rakan-rakan pancing tempatan yang turut menjoran sembilang.
Kembali ke pengkalan untuk mendapatkan bekalan minyak tambahan sebelum ke lokasi seterusnya. Teluk Nyireh....lokasi pari.


Kami pulang lebih kurang pukul 6.00 petang. Sempat singgah di restoran terapung untuk menikmati kari sembilang yang disediakan di situ. Pengunjung juga boleh mendapatkan "ketam lembut" salah satu ikon yang menjadikan tempat ini istimewa. Ketam-ketam ini boleh dimasak di sini atau di bawa pulang dalam keadaan hidup. Harga yang ditawarkan ketika ini, lebih kurang RM 30/ kg. Ketam biasa pula lebih kurang RM 10/ kg. Lokasi jualan ketam ialah bersebelahan dengan restoran terapung.

Rabu, 22 Jun 2011, sekali lagi Haji Mazlan turun ke lokasi untuk misi sembilang dan jenahak. Sekiranya hasil memuaskan, pada hari Ahad , 26 Jun kami akan lakukan misi ulangan.