Rabu, 4 April 2012

Paparan Tertunda Aktiviti Menjinakkan Sang Sepit Biru Ulu Basir

Salam sejahtera, salam hormat kepada pengunjung setia,peminat aktiviti menjoran,pembaca senyap laman Puakajoran.Kemaafan dipinta kerana sudah agak lama tidak memaparkan aktiviti menjoran di ruangan ini.Senyap tidak bererti aktiviti terhenti.Walaupun sibuk dengan aktiviti rutin yang semakin menyesak walaupun pada masa atau waktu-waktu yang dahulunya dianggap senggang, sesekali ke lokasi juga untuk beraksi bersama-sama rakan tegar.
 
Teruja dengan perkhabaran teman-teman yang mengatakan Sang sepit Biru kembali lahap menjamah umpan, saya, Pak Man Juragan dan Mat Trolak menyusuri jalan ladang melalui Behrang Station hinggalah ke Jambatan Muhibah.Kami menyewa motorbot yang disediakan oleh pengusaha aktivi sungai secara kecil-kecilan di situ.Harganya agak murah.RM 50/ hari.
Berumpankan cacing semata-mata kami tiada pilihan.Walaupun hati sangat teringin menjinakkan Sang kelabau namun hasrat terpaksa dilupakan.Cuaca yang mendung berpanjangan membantutkan usaha kami menjinakkan kelabau.
Sang Sepit Birupun seakan malas menjamah umpan.Kemungkinan disebabkan keadaan air yang terlalu sejuk dek hujan berpanjangan semalam.Apapun, usaha tetap diteruskan.Dari satu lubuk kami berpindah ke satu lubuk yang lain.Hasilnya....



 Hanya beberapa ekor udang bersaiz sederhana dan kecil.Jenggo?Langsung tidak tersangkut pada mata kail.


Aktiviti kami terpaksa ditamatkan agak awal kerana hujan lebat dan petir.Dalam kesejukan terpaksa menempuh perjalanan yang agak payah menuju destinasi pulang.Purata tidak sampai 20 ekor udang yang kami perolehi setiap seorang.Rezeki anak-anak untuk dicampurkan sebagai rencah mee segera.

* Aktiviti ini kami lakukan pada pertengahan Februari 2012.Paparan seterusnya aktiviti menjinakkan tenggiri Tuas yang bersama-sama rakan pancing Klang - Ali Alphat dan rakan-rakan - Tokan.