Khamis, 30 November 2017

Asal Usul Nama Pekan Sungai Gedong Perak, Mitos Buaya Putih dan Buaya Sungai Gedong


Sungai Gedong, sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 7 km dari Bagan Serai, Perak, jika anda  melalui jalan Persekutuan dari Ipoh ke Butterworth.

Berhampiran pekan kecil ini terdapat sebatang sungai yang mengalir dari Bukit Merah hingga ke Kuala Kurau. Sungai ini dikenali dengan nama Sungai Kurau.

Dalam kalangan masyarakat tempatan mereka lebih senang menyebut sungai ini dengan panggilan Sungai Gedong, mungkin sinonim dengan pekan kecil "Sungai Gedong" yang terletak berhampiran sungai tersebut.


Generasi muda hari ini mungkin tidak ramai yang mengetahui mitos seperti yang diceritakan secara turun temurun oleh penduduk setempat dan bagaimana pekan kecil Sungai Gedong ini mendapat nama.

MITOS BUAYA PUTIH

Seperti yang diceritakan oleh Allahyarham Encik Mat Hussin bin Bab (meninggal pada tahun 2012 ketika berumur lebih 80 tahun), kononnya pada zaman British dahulu terdapat seekor buaya putih yang panjangnya sama keluasan lebar sungai tersebut. Ketika buaya tersebut timbul ekornya mencecah tebing sebelah sana sungai manakala kepalanya di tebing sebelah sini berhampiran pekan Sungai Gedong.


Buaya putih ini dikatakan keramat, penunggu atau penjaga sungai. Ada juga yang mendakwa buaya ini buaya jadian. 

Menjadi amalan khurafat sebahagian penduduk, memohon penawar jika terkena sakit dan demam. 

Buaya tersebut diberi nama Tok Gedong yang bermaksud "sangat besar". Sehingga artikal ini ditulis,masih ada kedengaran cerita-cerita yang mengatakan terdapat sebahagian keluarga yang mendakwa keturunan atau mempunyai pertalian drngan "buaya putih" ini sesekali berziarah dan melakukan ritual memberi bertih kepada buaya. Bertih ialah sejenis makanan yang dihasilkan daripada padi pulut yang digoreng digunakan utuk acara ritual atau puja semangat.

Dari nama Tok Gedonglah diambil nama sempena  dan ujudlah Pekan Sungai Gedong hingga sekarang.

BUAYA SG GEDONG 

Sejak kanak-kanak hinggalah ke usia remaja, saya sering ke sungai tersebut untuk aktiviti menjoran ikan dan udang dengan Allahyarham bapa dan juga rakan-rakan sebaya. 

Sehingga usia saya mencecah 40 tahun tidak pernah sekalipun saya lihat kelibat buaya di sungai ini walaupun dari cerita penduduk setempat dan orang tua-tua sungai ini menjadi habitat semulajadi Sang Bedal.

Akan tetapi, cerita-cerita tersebut mula menjadi kenyataan bermula pada taahun 2010. Buaya kerap timbul dan dapat dilihat di merata kuala kecil yang bersambung dengan sungai induk ( Sungai Kurau). Saya sendiri kerap terserempak apabila menjoran dengan rakan-rakan.

Pernah di suatu kuala sungai yang agak jauh ke dalam (Kunci air 18, Estate Sime Darby) tiga ekor buaya timbul secara serentak. Kami beranggapan setiap kuala kecil dihuni sekurang-kurangnya seekor buaya apabila melihat akan saiz yang berlainan apabila menampakkan diri ketika kami sedang beraktiviti

Seingat saya dalam tempoh tersebut terdapat sebilangan buaya telah ditangkap oleh pihak PERHILITAN kerana terlalu jinak dan menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan penduduk. 

Begitu juga dengan sebilangan buaya lain telah ditangkap secara tidak sengaja (termakan rawai) atau dibunuh secara rahsia oleh penduduk setempat yang juga bimbang akan keselamatan diri dan keluarga mereka.

Apapun, bagi kami penjoran sudah mangli dengan kehadiran reptilia ini dan amat mengujakan apabila buaya-buaya ini timbul dan menunjukkan diri. Buaya-buaya ini sangat jinak dan dapat dilihat dari jarak yang agak dekat. 

Sesekali buaya-buaya ini juga membaham umpan pancing kami.Kebiasaannya kami gunakan umpan ikan keli hidup untuk memancing ikan toman. Apabila umpan dibaham maka terjadilah adengan tarik menarik yang pastinya kami yang kecundang. Ada antara joran kami yang patah gara-gara Sang Bedal.


Kami amat berbangga dengan situasi begini kerana sungai kami masih dihuni oleh reptilia Sang Bedal dan amat sinonim dengan Si Sisik Emas @ Golden Arowana bermutu tinggi.

Moga-moga anugerah ini terus terpelihara sebagai khazanah setempat dan juga untuk tatapan generasi akan datang. – Catatan Tokanpuakajoran@cikgu Badr.