Khamis, 31 Januari 2019

Misi Menjinakkan Kelabau @ Ara-ara Sungai Perak

26 Januari 2019, Masih lagi di Sungai Perak. Misi kali ini lain sedikit.Memburu Sang Kelabau @ merah Mata @ Ara-ara menurut penduduk tempatan.
Seawal 6.30 pagi saya bertolak dari Slim River menjemput Ustaz Dusuki di FELDA Besout terus ke Bidor menjemput En. Shahrul dan langsung ke Tapah menjemput seorang lagi sahabat.





Menyusuri Jalan Tapah Road ke Cendrong Balai. Singgah sebentar sarapan pagi di gerai Awek Comel (ha ha). Kemudian terus ke Teluk Memali. Satu lokasi yang masih belum teruk tercemar dan ada menyimpan sejarah Kesultanan Perak.

Seketika tiba di lokasi terpandang seorang sahabat (bekas anggota TNB Slim River) sedang berusaha mendaratkan seekor belida.

Menurut beliau Sang Belida ini tersangkut mata pancing mungkin ghairah memburu anak-anak ikan yang mengerumuni umpan sawit beliau. Itulah rezeki namanya.







Kami hanya sempat mendaratkan seorang seekor jelawat saiz S dan ikan-ikan kecil yang lain.

En. Shahrul pula sempat juga menjinakkan Sang Kelabau. Air surut menyebabkan aktiviti terhenti. Sungai umpama tiada ikan waktu itu.

Tempoh masa bertenang itu saya sempat menyusur ke hilir sungai.

Di situ bersemadinya jasad Almarhum Paduka Sultan Perak yang ke 17. Almarhum Sultan Alauddin Mansur Syah Iskandar Muda (1773-1786).

Saya difahamkan kira-kira 3 KM dari situ terdapat satu lagi makam iaitu makam kekanda baginda Raja Ahmad. Saya tidak sempat melewati makam tersebut.















Di lokasi ini saya daratkan seekor patin mini. Ikan Joghe kata orang Pantai Timur.
Biarpun tiada tangkapan bersaiz mega sekurang-kurangnya lepas juga untuk makan malam.

Kami bergegas pulang pada pukul 3.00 petang biarpun rencana asalnya hingga ke petang.





InsyaAllah misi sungai akan diteruskan pada 9.2.2019 jika keadaan mengizinkan.

Sabtu, 19 Januari 2019

Baung Kelulang @ Sang Kelulang @ Changkalulang Sungai Perak pada Trip ke 3 Sesi 2019

19 Januari 2019. Misi menerjah atau kembali ke sungai kami teruskan. Seperti sebelumnya kami masih memilih lokasi yang sama Pangkalan Bot Udang Kampung Esso, Teluk Intan.

Misi kami masih tidak berubah, mahu menjinakkan Sang Sepit Biru, Sungai Perak.

Dibarisi pemain lama dan baharu berjumlah 6 orang antaranya Bro Shahrul, Sdr Sahak, Pawang Hamdi, Sdr Mark Pie, dan Cikgu Fitri. Kami menyewa bot Abang Wan. Beliau boleh dihubungi melalui talian 017 5322998 dengan kadar sewa yang berpatutan.

Seketika melayan Sang Sepit Biru tiba-tiba joran disentap kuat. Pucuk dicita ulam mendatang. Spisis yang sekian lama saya idamkan. Saya tidak memburunya tetapi datang menyerah. Dengan sebatang pancing udang bermesin kecil, tali perambut bersaiz 4 lbs. Saya terkial-kial mendaratkannya. Apa yang meyakinkan, saya gunakan mata kail jenama Morigen saiz nombor 1.

Baung Kelulang atau Sang Kelulang @ Changkalulang kata sesetengah penduduk tempatan tewas. Tidak terlalu besar tapi mengasyikkan. 1.25 kg, cukup untuk kali ini.


Ciri-ciri baung jenis ini agak unik. Rupanya yang comel, muncungnya yang pipih, ridip atas belakang ekornya putih susu, matanya yang comel dikelilingi bulatan putih dan ada tanda putih antara kedua-dua matanya. Rasanya mmm enak juga. Harga pasaran agak tinggi berbanding baung ekor merah (vientam).



Sepanjang beraktiviti kami dapat  melihat bot-bot besar (kapal) atau feri yang dibawa ke sini untuk pembaikan atau mungkin mahu dilupuskan. Kami tak pasti. Antaranya Feri Pulau Rawa ini.




Dan yang pastinya ada juga Sang Sepit Biru sebagai oleh-oleh. Penamat misi kami pada hari tersebut.