Sabtu, 15 Februari 2020

Trip Santai Kuala Kurau 2

Seperti yang dirancang, 15 Februari 2020, kami sekali lagi bertamu di daerah Krian.Masih lokasi yang sama seperti minggu terdahulu, sangkar Kuala Kurau.

Kari sembilang Kuala Kurau terbayang dalam kotak fikiran. Kami tiba agak lewat kerana hujan sepanjang perjalanan.Kemalangan lori yang berlaku di lebuh raya juga memperlahankan pergerakan kami.

Bertiga dengan Tuan Ishak Canai dan Bro Fendy kami tiba di pekan kecil Kuala Kurau ketika jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Janji kami dengan tekong Abang Cha pukul sembilan.





Setelah berkomunikasi dengan tekong dan menjelaskan kehadiran kami agak lewat, kami bergegas ke Medan Sembilang. Cikgu Musa sudah sedia menanti. Nasib baik razeki masih menyebelahi kami. Sempat juga menikmati kari pari dan sembilang Kuala Kurau. Sempat juga tapau untuk bekalan walaupun pengunjung bersesak-sesak.
Usai makan, kami bergegas ke Pangkalan Kampung Raja Bashah,Tekong Bang Cha sedia menanti. Setelah bertegur sapa dan memohon maaf kerana agak lewat kami bergegas ke lokasi. Bang Cha peramah dan tidak lokek mempeturunkan ilmu memancing di situ.
Sebentar melabuhkan sauh, umpan Tekong Bang Cha disentap keras.Kami teruja, seekor GT.Begitulah seterusnya.Kami salih berganti mendaratkan beberapa GT,sembilang,merah dan lain-lain.



  


Kami kembali ke pangkalan kira-kira pukul 6.30 petang.Tidak banyak hasil kami tetapi cukuplah untuk bekalan di bawa pulang.

Pada malamnya kami singgah santai di rumah ikan (tinggal) yang diusahakan penduduk tempatan.kami cuma singgah rehat sambil-sambil menjejaki spesis ikan yang mahu menjamah umpan di situ. 

Usaha kami tidak berhasil.Kemungkinan keadaan pasang surut air atau umpan yang tidak sesuai. Kami pulang awal pada pagi tersebut. 

Misi menjoran di rumah ikan yang kami rancangkan sebelum ini terpaksa kami tangguhkan.Belum jumpa kelong atau rumah ikan yang menepati cita rasa kami.  



Sebelum pulang ke Slim River, kami singgah lagi bertamu di premis menyajikan kari sembilang Kuala Kurau. Kali ini berhadapan dengan Balai Bomba Kuala Kurau.Tidak kurang hebatnya.Menjilat jari.
Kami bertekad untuk datang lagi. 17 dan 18 Mac kami akan bertamu lagi di daerah ini dengan Tekong Bang Cha.Sebelum itu, pada 15 Mac kami akan ke Tuas Yan melalui Pangkalan Nelayan Sungai Udang dengan Tekong Bob.Terasa lambatnya peredaran waktu.

Rabu, 12 Februari 2020

Kuala Kurau, Pekan Kecil yang “Hidup”

Kuala Gula terletak di persisir pantai utara Perak, kira-kira 50 kilo meter (km) dari barat laut bandar Taiping dan 80km dari sempadan Pulau Pinang. Ke Utara lagi kita akan menemui Tanjung Piandang dan Kuala Kurau yang tidak kurang hebatnya.

Di sekitar perairan Kuala Gula terdapat satu tapak kajian arkeologi ke atas rangka manusia purba dianggarkan berusia 3,000 tahun terletak di Pulau Kalumpang.

Di sepanjang laluan pesisir pantai terdapat penempatan nelayan yang dikelilingi hutan bakau serta pantai berlumpur, di daerah Kerian. Hutan-hutan ini adalah sebahagian daripada hutan simpan paya Larut Matang yang disempadani Sungai Selingsing menghala ke muara.

Dari segi geografi, kedudukan beberapa penempatan nelayan di situ amat strategik terutama kepada nelayan pantai yang lebih bertumpu kepada kegiatan menangkap ketam nipah (Scylla Serrata), siput, kerang dan ternakan ikan dalam sangkar, selain nelayan laut dalam.

Terdapat tiga pulau utama iaitu Pulau Gula, Pulau Kalumpang dan Pulau Selinsing membentuk benteng utama menghadap muara sungai dan dianggap syurga bagi nelayan kerana di situlah setiap keringat yang menitis dibayar dengan upah lumayan hasil tangkapan hidupan marin.Salah satu asset berharga yang terdapat di sini ialah ketam nipah.

Di negara kita, hanya sembilan kawasan yang dikategorikan sebagai lokasi ketam nipah iaitu Kuala Kurau; Kuala Trong; Kuala Sepetang dan Kuala Selinsing (Perak); Semantan dan Sarikei (Sarawak); Kampung Sungai Melayu (Johor); Lagun Kuala Semerak (Kelantan) dan Kampung Permai, Sungai Petani (Kedah).




Pada kali ini (1 Februari 2020),kami dari group pemancing Puakajoran.blogspot.com (Cikgu Rozidi,Sdr Mat FELDA,saya dan Pegawai Warant 11 Pon) cuba menjejaki lokasi penternakan ikan dalam sangkar di Kuala Kurau. 

Kehadiran kami sekadar melepaskan hobi secara ringan-ringan setelah ketiadaan aktiviti rutin mengail udang di Sungai Perak,Teluk Intan dan menyantuni cencaru di Tuas Yan.

Seawal pukul 4.30 pagi kami berkelana dari Slim River ke pekan kecil Kuala Kurau. Kami tiba sebaik sahaja azan subuh berkumandang. Usai solat subuh di masjid, destinasi kami ke Dataran Sembilang Kuala Kurau. Bagai ditarik-tarik, kami mendapatkan sajian berupa kari sembilang segar,kari pari dan nasi putih. 

Pelanggan lain pun demikian. Bukan setakat sarapan pagi, rata-rata pelanggan yang bersarapan di situ juga menapau kari sembilang dan pari sebagai bekalan. 

Beberapa kumpulan pemancing lainpun turut berbuat demikian.Kuala Kurau, sebuah Pekan kecil yang “hidup” setiap pagi.

Di pangkalan nelayan, Tekong Nazri telahpun bersiap sedia. Agak malang,umpan udang hidup yang kami rencanakan mudah didapati di situ kehabisan. PW 11 Pon, rakan kami terpaksa ke tempat lain yang agak jauh untuk mendapatkan bekalan umpan udang hidup.

Hampir pukul 10.00 pagi barulah kami dapat meneruskan aktiviti. Dengan bot kecil berkapisiti 5 pemancing kami bergerak ke lokasi penternakan ikan dalam sangkar sekitar perairan Kuala Kurau. 

Jangkaan kami, lokasi ini jarang-jarang dikunjungi kumpulan pemancing lain. Rata-rata pemancing ikan sangkar lebih tertumpu di Kuala Gula dan sekitar Perairan Sungai Udang, Nibung Tebal. Sangkaan kami meleset. Terdapat lebih 17 buah bot nelayan lain berlabuh di situ. Tidak mengapa, kami tumpang memeriahkan suasana.

Pengalaman turun kali pertama dengan menaiki motorbot di sini memberikan kami pengalaman baharu. Biarpun hasil tidak seberapa, kami tetap terhibur.Diharap dengan usaha kecil kami ini dapat terus menjadikan lokasi ini sebagai salah satu destinasi pemancingan yang diminati dan setidak-tidaknya dapat menarik pengusaha bot, pengusaha kedai makan atau nelayan kecil menambah pendapatan mereka. 

Selain lokasi pemancingan di kawasan sangkar, pemancing juga boleh menjalankan aktiviti memancing di tapak jambatan seperti yang pernah saya paparkan dahulu. Kini terdapat juga pengusaha rumah kelong yang menjalankan aktiviti di sini. 

Pemancingan di kelong ini akan saya paparkan dalam episod selanjutnya. Ketika ini, kami sedang bersiap sedia untuk santai di sekitar kawasan sangkar ternakan ikan Kuala Kurau untuk kali ke dua pada 15 Februari 2020. Moga hasil lebih lumayan. – Tokanpuakajoran 2020.