Khamis, 3 Disember 2009

Rezeki Segera

Ketika ini saya masih di kampung. Melihatkan tali air yang dilimpahi air bertujuan pengairan ke sawah padi terlintas pula di hati untuk menjamah ikan sepat dan terbul masak gulai lemak atau goreng berlada air tangan emak yang sudah lama tidak saya rasai. Sebelum bertolak ke Taiping membawa anak-anak melawat zoo, saya berpesan kepada adik (Sallehhuddin) agar membeli serawan jaring yang keluasan matanya lebih kurang dua inci. Agakan saya pada ketika ini ikan yang mendiami tali air ini tidaklah terlalu besar. Setelah pulang dari Taiping, saya membawa anak-anak bersiar-siar menyusuri jalan Selinsing hingga ke Kuala Gula kemudiannya ke Kuala Kurau seterusnya ke Bagan Serai dan pulang ke kampung. Sepanjang perjalanan saya lihat ramai kaki pancing terutama perempuan, sedang melayan puyu di parit dan paya sekitar laluan. Lebih kurang pukul 6.30 petang saya bersama adik memulakan operasi memasang jaring di tali air berhadapan rumah orang tua saya. Hajat hati ingin memancing, memandangkan peralatan telah saya tinggalkan dan masa yang terhad jadi saya gunakan kaedah menjaring sahaja.

Sedang membuka jaring (Pukat Siam) yang berharga RM 7
Jaring telah dilabuhkan
Hati teruja melihat pelampung tenggelam timbul akibat jaring di langgar ikan

Bersedia untuk pulang setelah hari hampir gelap
Selepas beberapa ketika, kembali ke lokasi dan inilah hasilnya. Ada ikan selat,sepat,puyu,terbul dan haruan.
Dapatlah merasa masakan emak esok.....


Daripada cerita adik, beberapa rakan yang pernah menjala di tali air ini mendapat udang bersaiz mega. Suatu ketika dahulu dalam tahun 80-an tali air ini dihuni oleh pelbagai spesis ikan dan udang juga banyak. Sekarang jumlahnya berkurangan. Udang pula, hanya sesekali diperolehi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan