
Isnin yang baru berlalu, ada sedikit kelapangan, bergegas ke Pot Sungai Cenderiang dengan Mat Trolak (Shahrul) setelah beberapa bulan tidak merasa sentapan jelawat. Kebetulan air agak besar. Sebelum sampai ke pot, terserempak dengan beberapa rakan, mereka menyatakan musim ini banyak jelawat telah ditumpaskan oleh penjoran yang bertali arus. Saya jadi makin teruja apatah lagi khabarnya ramai kaki pancing yang kempunan mendaratkan hasil, setelah Sang Jelawat berjaya melepaskan diri setelah memutuskan perambut mereka.

Sampai di lokasi lebih kurang pukul 9.00 pagi.


Setengah jam berlalu, jelawat makin galak menangkap sampah dan makanan yang terapung. Kelihatan juga seekor jelawat yang saya kira melebihi 1.5 kg sedang meragut pucuk teberau sambil mempamirkan bentuk badannya di seberang sana.Berbagai ikhtiar saya cuba, namun sang Jelawat seolah-olah begitu cerdik, tidak mahu langsung menyentuh umpan sawit potong atau sawit busuk yang saya sajikan. Hati semakin panas lebih-lebih lagi terima panggilan daripada Mat Trolak (Shahrul) menyatakan beliau baru sahaja mendaratkan seeekor jelawat hampir 2 kg. Ketika itu lebih kurang pukul 11.30 pagi. Sang jelawat yang saya perhatikan makin kerap timbul menyelinap di celahan pucuk teberau mempamirkan bentuk badannya dan sinaran sisik yang berkilat.

Terpaksa akur dengan keadaan, bukan rezeki saya lagi, tiada tangkapan besar walaupun sudah setengah tahun 2010 berlalu. Hanya berpuas hati dengan seekor ikan kepar atau ikan patung sebesar tapak tangan ini sahaja.

Bergegas pulang pada pukul 4.30 petang kerana hujan dan petir walaupun hati belum puas. Ketika itu kelihatan 3 buah kenderaan sedang menuju masuk dalam hujan lebat. Agaknya jelawat makan petang. Nanti kau jelawat, saya akan datang lagi....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan