Selasa, 27 Julai 2010

Selamat Datang Ramadhan مرحبا يا رمضان Welcome Ramadhan

السلام عليكم ورحمه الله وبركاته

بسم اللھ الرحمن الرحيم.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya : “ Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 183)

Ramadhan hampir tiba. Ramai yang menunggunya dengan penuh pengharapan, tidak kurang pula yang sebaliknya. Kerap kali terdengar ungkapan” Dah nak puasa…..?, “Ramadhan dah dekat ni .…..” dan bermacam ngomelan yang agak negatif.Tidak kurang juga yang melahirkan ungkapan “ Ramadhan sudah hampir, seronoknya.....”.

Kepada rakan-rakan “Puakajoran” diharapkan kehadiran Ramadhan memberi rahmat , nikmat dan keinsafan yang mendalam. Inilah masanya untuk melipat gandakan amalan. Bayangkan betapa sedapnya melihat air sungai yang mengalir yang kadang kalanya keruh lebih dari teh tarik. Betapa sukarnya menahan rasa ketagih bagi “perokok tegar” yang sebelum ini dapat menghembus asap berbunga semasa menantikan joran disentap ikan. Penuhilah masa terluang itu dengan zikrullah dan tilawah al Quran.

Menjoran di bulan Ramadhan juga melatih kita bersabar dengan pelbagai karenah alam seperti sampah hanyut, air keruh, banjir , mata pancing tersangkut, godaan rakan-rakan yang tidak berpuasa dan lainnya. Kawallah diri dengan kesabaran yang tinggi. Ramadhan juga merupakan sesi terapi untuk menyahtoksik atau kimia tidak berguna dalam tubuh melalui peluh yang terhasil ketika beraktiviti.

Jangan jadi segolongan penjoran yang menjadikan medan menjoran untuk berpesta makan besar. Kalau di bulan-bulan lain bekalan untuk menjoran hanyalah air masak dan roti tawar tetapi di bulan Ramadhan, "air 100" yang baru dikeluarkan dari peti ais dan nasi beriani dan kebanyakannya dibeli dari kedai orang bukan Islam. Memalukan…

Sesetengah penjoran bermusim ini tediri daripada kalangan mereka yang tidak pernah menyentuh joran bahkan tidak ambil kisahpun fasal menjoran. Apabila bulan puasa, muka mereka ini muncul secara tiba-tiba dan ramai pula. Penuh “pot” di tepi sungai. Sedihnya, mereka ini dari kalangan remaja melayu yang cukup bijak mengulas isu, terutama isu politik dan kepimpinan Melayu Islam. Hebat sungguh penjoran-penjoran ini.

Sedar dan insaflah wahai rakan penjoran. Masyarakat kita hari ini kebanyakannya mati kerana banyak makan, bukan mati kerana tidak makan. Seharian tidak menjamah makanan tidak menjadikan kita hilang upaya sebaliknya lebih berupaya. Hentikanlah tabiat buruk dengan berselindung disebalik aktiviti menjoran untuk “Melantak Sakan” dan menderhaka kepada Allah!Ingatlah…."Dua kegembiraan bagi orang-orang yang berpuasa, satu semasa ia berbuka dan satu lagi semasa ia menemui Tuhannya" Wallahuaqlam- Tokan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan