Ahad, 12 Disember 2010

Panduan Mengenal Lubuk Ikan Sungai

Beberapa hari yang lalu  salah seorang pengunjung blog ini ingin mengetahui ciri-ciri lubuk atau sarang tempat ikan berkumpul. Saya bukanlah seorang yang arif tentang lubuk-lubuk ikan, namun berdasarkan sedikit pengalaman saya cuba titipkan beberapa panduan untuk mengenali lubuk ikan. Lubuk kebiasaannya adalah bahagian yang agak dalam  pada sesebatang sungai namun tidak semua ikan makan di dalam lubuk. Bergantung kepada rezeki , sedikit usaha juga ikhtiar.

Bahagian sungai yang agak dalam biasanya:
1. Kelihatan airnya agak gelap.
2. Arus yang mengalir agak perlahan atau lambat dan kadang kala berpusar.
3. Bahagian sungainya mungkin sedikit sempit daripada bahagian lain.

Selain itu, ikan juga mungkin bersarang atau bersembunyi pada tempat-tempat berikut:
1. Kawasan yang banyak bangkar atau pohon tumbang ke dalam sungai.
2. Kawasan yang dilitupi atau ditumbuhi hidupan air seperti kangkung,teberau atau jejolok.
3. Kawasan-kawasan yang ditumbuhi pohon yang rendang dan buahnya dimakan oleh ikan seperti pohon jejawi dan pohon ara.
4. Ikan juga mungkin bersembunyi pada rumpun buluh yang mengunjur ke dalam sungai kerana ikan putih seperti lampam dan kelah amat gemar memakan ulat buluh yang terjatuh ke dalam sungai.
5. Selain itu ikan juga mungkin bersembunyi di bawah timbunan sampah yang tersekat di dalam sungai.Kaloi dan kelabau amat gemar lokasi yang sebegini.
6. Kawasan tunggul kayu yang biasanya tegak di tengah-tengah sungai. Ikan kelah amat gemar bermain arus pada tempat begini sambil menangkap buih-buih yang terhasil daripada kesan arus yang "membelah" tunggul tersebut.
7. Kawasan tebing yang kelihatan berlubang-lubang pada musim kemarau. Ikan baung biasanya bersembunyi di dalam lubang-lubang tersebut pada musing air tohor dan akan keluar apabila air besar. Pada ketika itu baung amat galak meratah umpan.

Usaha-usaha lain juga boleh dilakukan untuk mengesan kedudukan ikan atau menarik ikan meragut umpan.
1. Sebelum melabuhkan umpan,hanyutkan makanan atau bahan yang menjadi makanan ikan dan lihat kawasan mana yang kerap terdapat sambaran ikan.
2. Jika ingin membuat ulangan ke lokasi, benamkan makanan ikan tersebut ke dasar sungai (seperti setandan sawit, pastikan tidak hanyut). Biasanya ikan akan bermastautin di situ sehingga bahan makanan tersebut habis Usaha ini bolehlah dinamakan membina "lubuk buatan".
3.Kita juga boleh menggunakan umpan-umpan yang mengeluarkan sedikit minyak@lemak dan aroma yang dapat menarik minat ikan untuk menjamah umpan.


* Apa yang dipaparkan hanyalah berdasarkan pengalaman saya yang saya kira amat cetek. Lain orang , lain ceritanya dan ada kalanya ikan makan di tempat yang cetek dan tidak disangka-sangka. Bergantung kepada rezeki dan disulami sedikit ikhtiar dan usaha.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan