بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، و على آله وصحبه ومن والاه. أحمده لله أن جعلنا من أمة محمد خير المرسلين
انَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
Sejenak Bersama Insan Mulia Ini Ketika Ajal Hampir Menjemput Baginda
Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Segala puji dan syukur, aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku?”
Jibril as bertanya: “Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan?
Rasulullah SAW menjawab: “Tentang kegelisahanku, apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?”
Jibril menjawab: “Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman: Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sehingga engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu.”
Cara Menyintai Allah dan Rasul-Nya
Allah Subhannahu wa Ta'ala berfirman, yang ertinya:
"Katakanlah, 'Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu'. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(Ali Imran: 31)
Beberapa Kisah Untuk Direnungkan
Kisah PertamaSuatu hari Umar bin Khattab r.a. berniat menemui Rasulullah saw. Maka, berangkatlah ia berkunjung ke rumah Rasulullah saw. Tetapi, sewaktu ia telah berada di rumah Nabi, Umar terkejut seraya mengurut dadanya .
Betapa tidak, Rasulullah saw. yang kala itu adalah pemimpin umat dan menjadi ikutan , didapatinya sedang istirehat tidur di atas tikar yang lusuh dan tampak sudah buruk. Waktu Nabi bangun, Umar melihat kesan-kesan kasar tikar itu membekas pada badan beliau. Dari sebuah lemari tidak jauh dari mereka tampak segantang gandum di dalamnya. Hanya itu saja yang terlihat. Melihat keadaan Nabi yang begitu, Umar menangis. Nabi kemudian menanyakannya mengapa ia menangis
"Apa yang membuatmu menangis, wahai Umar?"
Masih dalam tangisnya, Umar menjawab, "Aku melihat para kaisar Kisra dan raja-raja lain nikmat tidur di atas katil mewah beralaskan sutera. Tetapi, di sini engkau tidur beralaskan tikar seperti ini."
Mendengar penjelasan Umar ini, Nabi menyahut, "Wahai Umar! tidakkah engkau sependapat denganku? Kita lebih suka memilih kehidupan akhirat, sedangkan mereka memilih dunia."
Kisah Kedua
Tentang kecintaan Nabi SAW kepada Saidina Hasan dan Saidina Husein, Abu Hurairah ra. pernah berkata: “Rasulullah SAW datang kepada kami bersama kedua cucunya, Hasan dan Husein. Yang pertama ada di bahunya yang satu, dan yang kedua ada di bahunya yang lain. Sesekali baginda SAW menciumnya, sampai baginda berhenti di tempat kami.
Kisah ketiga
Suatu hari datanglah ke masjid seorang Arab Badwi yang belum mengetahui adab di masjid.
Tiba-tiba ia kencing di lantai masjid yang berlantaikan pasir. Para sahabat sangat murka dan hampir sahaja memukulnya.
Sabdanya kepada mereka: "Jangan ! Biarkan ia menyelesaikan hajatnya."
Orang Badwi merasa kagum. Ia mengangkat tangannya,
"Ya Allah, kasihilah aku dan Muhammad. Jangan kasihi seorang pun bersama kami."
Dengan senyum ditegurnya Badwi tadi agar jangan mempersempit rahmat Allah.
Kisah keempat
Ketika masyarakat Thaif menolak dan menghina baginda, malaikat penjaga bukit menawarkan untuk menghimpit mereka dengan bukit. Baginda menolak, "Kalau tidak mereka, aku berharap keturunan dari sulbi mereka kelak akan menerima da'wah ini, mengabdi kepada Allah saja dan tidak menyekutukan-Nya dengan apapun."
Kisah kelima
Baginda selalu lebih dulu memulai salam dan menjabat tangan siapa yang menjumpainya dan tidak pernah menarik tangan itu sebelum shahabat tersebut yang menariknya.
Baginda tidak pernah menjulurkan kaki di tengah shahabatnya hingga menyempitkan ruang bagi mereka.
Baginda sentiasa memuliakan sesiapa yang datang, kadang-kadang dengan membentangkan bajunya. Bahkan baginda memberikan alas duduknya dan dengan sungguh-sungguh.
Baginda memanggil sahabat dan tetamu-tetamunya dengan nama yang paling mereka sukai. Baginda juga memberikan mereka kuniyah (sebutan bapak atau ibu si Fulan).
Baginda tidak pernah memotong pembicaraan (percakapan) orang, kecuali sudah berlebihan.
Apabila seseorang mendekatinya saat ia sholat, baginda cepat-cepat menyelesaikan sholatnya dan segera bertanya apa yang diinginkan orang itu.
Berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda bahawa, "Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail A.S. telah berkata kepadaku: Berkata Jibril a.s. : "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."Berkata pula Mikail a.s.: "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."
Berkata pula Israfil a.s.: "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah s.w.t. dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah s.w.t. mengampuni orang itu."
Malaikat Izrail a.s. pula berkata : "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut ruh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut ruh para nabi-nabi."
Renungan dan Kesimpulan :
Sambutan Maulidur rasul bukanlah satu kemestian atau acara rutin tahunan atau sebuah program pengkisahan kelahiran beginda ataupun program untuk berarak sambil mengibarkan sepanduk yang berbagai slogan semata-mata. Tuntutannya lebih jauh dan lebih mendalam daripada itu.Apa yang berlaku dalam kehidupan kita hari ini?Apakah kita cinta kepada Allah dan Rasulnya? Sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab menegakkan Daulah Islamiah dan mengisi ruang yang ditinggalkan dengan peradaban dan tamadun yang diperjuangkan oleh baginda? Marilah kita bersama-sama menghayati dan mencontohi perjuangan baginda Muhamwad S.A.W serta menjadikan baginda sebagai idola atau ikutan yang tidak berbelah bahagi. Basahkanlah lidah dengan sentiasa bersalawat kepada nabi, Sesungguhnya para malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. Catatan ringkas yang dipaparkan ini,diharapkan dapat dijadikan renungan untuk kita terus bertekad mempertahankan dan melaksanakan secara total kesempurnaan ajaran yang dibawa oleh Muhammad S.A.W dan sentiasa berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.. Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang kesayangan Allah s.w.t., Rasul dan para malaikat.Jadikan Nabi S.A.W. Sebagai Contoh dan Ikutan
خيرالناس أنفعهم للناس
“Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak mendatangkan manfaat kepada orang lain”.
اهلا وسهلا بحضوركم
Dipetik daripada Himpunan dan Koleksi Ceramah Budr @ Tokan puakajoran untuk Puakajoran.blogspot.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan