Gerugoh, Tuar,Tempang,Tempirai,Bubu Raya,Bubu Tidur dan bermacam jenis bubu pernah saya dengar, namun tidak begitu mengetahui jenis-jenisnya dengan tepat. Sewaktu bertamu di rumah Ketua Kampung Parit 4, Selinsing dua minggu lepas, saya terpandang peralatan ini. Penduduk tempatan memanggilnya "tempang". Sejenis peralatan untuk menangkap ikan yang disebut juga bubu ataupun lukah. Cara memasangnya ialah dengan meletakkannya secara menegak atau berdiri di dalam air. Kebiasaannya tali air atau anak sungai yang mengalir menjadi tempat yang paling sesuai untuk meletakkan peralatan ini. Pemasangan alatan ini perlu juga disertai "belat" iaitu bilah-bilah buluh yang diraut dan dijalin seumpama bidai, dipadankan secara bersambung ke permukaan bubu yang berinjap.Bidai yang bersambung pada permukaan bubu yang berinjap akan menyebabkan ikan tidak dapat lepas dan akhirnya masuk ke dalam bubu dan terperangkap.
Sewaktu kecil,saya pernah menyaksikan arwah bapa dan penduduk kampung memasang peralatan ini untuk memerangkap ikan. Biasanya ikan keli dan udang galah mendominasi tangkapan penduduk ketika itu. Bilah-bilah bubu yang dijalin agak jarang membuatkan hanya ikan -ikan besar sahaja yang terperangkap. Ikan-ikan kecil seperti sepat dan puyu dibiarkan lepas, mungkin kerana tidak berharga atau mungkin juga disebabkan ikan keli yang banyak kadang kala menjangkau puluhan kilogram setiap kali bubu diangkat membuatkan tuan punya bubu menghadkan ikan keli sahaja yang perlu diperangkap.Sudah tentu tidak terangkat jika dibiarkan semua ikan terperangkap.
Harga ikan keli ketika itu RM0.80 sekilogram.Apapun kini segalanya tinggal kenangan, ikan-ikan sawah dan tali air amat sukar ditemui dalam kuantiti yang banyak. Semuanya telah hilang. Yang tinggal hanyalah kenangan yang ditenggelami arus pemodenan.Usahkan ikan, perutku juga tidak betah bertahan jika menghirup air sumur ketika ini. Rindu rasanya pada kegiatan berenang dan melantak air sungai serta parit yang jernih dingin satu ketika dulu.
tempang tu sama ngan bubu ye...
BalasPadamnegeri mana yg panggil tempang tu... unik gak...
Bubu ni agak umum...banyak nama, sebab bentuknya lain-lain.Bubu seperti dalam gambar disebut tempang.Saya x pasti ejaannya timpang atau tempang...itulah sebutan atau nama bubu ini seperti yang disebut oleh penduduk setempat di kampung saya...
BalasPadam