Puas layan tenggiri Tuas
Oleh Abu Bakar Ali
bhnews@bharian.com.my
2011/08/20
KUMPULAN pemancing dari Perodua Rawang juga mewah dengan tangkapan tenggiri. Gambar bawah, Perambut tenggiri.
SEJURUS tamat musim tengkujuh sekitar April lalu, penulis bersama Hanapiah dan Azli bersama geng Perodua Rawang mengatur trip ke Tuas Yan, di Kedah selepas rakan pancing di sana mengesahkan bahawa tenggiri sedang mengamuk di perairan itu.
Selepas mendapatkan kepastian kali kedua, Azli yang juga pendatang baru dalam dunia pancingan laut dalam, paling teruja mengajak penulis mencuba nasib di lubuk yang terkenal dengan tenggiri besar dan ganas itu.
Tanpa berlengah, trip pada 2 April dipilih sempena cuti hujung minggu. Setibanya di sana, bot mula bergerak jam 7.30 pagi setelah semua peralatan dimuatkan ke dalamnya.
“Kita pergi cari umpan hidup dulu,” kata tekong bot Wan Ahmadi.
Beliau berkata, bekalan umpan amat penting untuk menawan tenggiri dan jumlahnya mestilah mencukupi manakala umpan mati hanya sebagai stok sementara terdesak seandainya umpan segar kehabisan.
Menurut Tekong Wan, memancing ikan tenggiri di perairan Tuas perlu kemahiran tinggi dan peralatan yang betul kerana boleh dikatakan tenggiri di sini bijak belaka.
“Jika pemancing menggunakan perambut tali kasar, ikan tak mahu makan, lebih baik guna perambut dawai halus sekitar 30 lb dengan 3 mata kail berserta batu ladung dan kekipas di bahagian depan untuk umpan ikan kembung borek mati seekor,” katanya.
Panduan beliau banyak membantu kerana perambut kasar mudah dilihat tenggiri kerana air laut di kawasan Tuas itu amat jernih sepanjang waktu sekali gus tenggiri mudah mengesan objek asing.
“Biarlah tali perambut kita beberapa kali putus asalkan ikan mahu makan, kalau guna perambut kasar tapi ikan nampak dan tak mahu makan, macam mana, rugi saja lah jawapnya," katanya.
Sejurus menukar perambut seperti dikatakannya, tidak sampai lima minit, umpan yang dilabuh Tekong Wan kira kira jam 9.30 pagi membuka tirai dengan seekor ikan tenggiri seberat 4 kilogram.
"Haa ! Lekas ! Lekas ! Depa ada ni," katanya sekali gus mencemaskan semua pemancing sambil dua minit kemudian giliran kail Cikgu Azmi pula menyusul dengan tenggiri seberat 5 kilogram.
Umpan Azli pula disambar belitung dengan saiz 3 kilogram manakala penulis pula puas menaikkan tenggiri seberat 3 kilogram.
Pesta menaikkan tenggiri terus bermula apabila Hanapiah dan Imran yang duduk di bahagian depan bot masing-masing turut menaikkan tenggiri berskala 3 dan 4 kilogram.
Dalam tempoh tiga jam saja kami seramai enam orang berjaya menaikkan 15 tenggiri yang jika dihitung sudah pun sama dengan kos tambang kami ke Yan.
Namun, disebabkan kesabaran dan keletihan menukar tali perambut yang putus digigit gigi tajam tenggiri, kami terus bertahan kerana menyedari sudah memasuki kawah tenggiri di tengah perairan Yan ini.
“Nasib baik aku ikut kau mancing Bakar, kalau tidak, menyesal aku,” bisik Hanapiah pada penulis.
Menjelang jam 5 petang, tenggiri mula menghilang dan joran kami sesekali disulami dengan henjutan dari alu alu dan belitung yang mengambil alih waktu rehat tenggiri.
Sementara itu, sebuah lagi bot yang berlabuh di sebelah kami milik Wan Ahmadi yang dipandu adiknya juga tidak kurang hebatnya. Geng Perodua Rawang yang disertai Ahmad Bakri, Rashidin, Shamsul, Shidi dan Tajudin juga bangga dengan tenggiri berskala 3 hingga 7 kilogram.
Sejak beberapa kali kunjungan penulis di sini, trip kali ini agak berbeza dari yang lain kerana tenggiri amat galak menyambar umpan menyebabkan semua pemancing ‘bagai nak gila’ melayan joran tanpa henti dari pagi hingga awal petang.
Kami hanya berehat 30 minit melepas lelah dan mengambil keputusan pulang jam 5.30 petang selepas masing-masing puas hati dengan jumlah tangkapan hari itu.
Setiba di jeti kami yang awalnya tidak sempat mengira bilangan ikan akhirnya tergamam selepas mendapati jumlahnya melebihi jangkaan. Bot kami saja ada 21 tenggiri dan masing empat ikan alu-alu dan belitung manakala bot yang dinaiki geng Perodua menaikkan 35 tenggiri dan tiga belitung manakala ikan apollo (ikan umpan) melebihi lapan kilogram.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PuaslayantenggiriTuas/Article/index
best nyee trip mancing... i follow your blog...
BalasPadam