Sabtu, 15 Oktober 2011

Semakin Hilang Aura Jelawat

Semakin hilang aura menjinakkan jelawat.Gambar dirakamkan pada 25.09.2011 sewaktu saya dan Mat Trolak menjejak semula riak-riak jelawat sungai cenderiang yang telah saya tinggalkan hampir setahun sudah.Gara-gara terlibat dengan misi menjoran di air masin.Bermula dengan perairan Sitiawan-Lumut-Pangkor,Kuala Gula hinggalah ke Tuas Yan.Misi Pulau Jarak, Perairan Nenasi dan Mersing?Masih menaruh harapan.
Setelah meredah hutan banat dan ladang kelapa sawit, kami mudik ke sungai Cenderiang sebelah bawah melalui Kampung Pasir Pekan (jalan ke Tronoh Mines).Puas melabuh umpan namun tiada jelawat yang sudi melahapnya.Mudik lagi hinggalah bertemu dengan sungai Kinta.Penat jangan dikira meredah hutan resam dan hutan teberau.Hasilnya tetap kosong.
Di kuala sungai ini juga,puas kami menukar umpan dan mempelbagaikan teknik.Dari umpan sawit hinggalah ke umpan usus ayam.Hasilnya tetap sama.Tiada rembatan ikan besar, hanya sekali-dua getusan ikan kecil.Sesekali juga kelihatan kelibat Sang Patin menunjuk laku bermain arus.
Bosan menanti.
Di akhir penantian yang menjemukan, tersesat jugalah seekor lampam sungai Kinta ini.Setelah seketika tiada lagi tanda-tanda jelawat muncul, kami menukar arah.
Sewaktu meredah hutan yang agak tebal kami terserempak dengan satu hamparan seperti tilam yang diperbuat daripada timbunan pohon-pohon teberau dan anak-anak kayu.Persekitarannya agak bersih dan mempunyai satu lorong menuju ke sungai. Mat Trolak lantas mengajak berpatah balik.Memandangkan jarak untuk keluar yang agak jauh, saya berkeras meredah semak untuk naik ke tebing yang jaraknya kurang 10 meter dari tempat tersebut walaupun terpaksa meredah teberau dan resam yang hampir hapus paras kepala.Dalam fikiran saya sarang tersebut 100% milik babi hutan.Punyalah takut, kalau-kalau disergah Sang Babi.Setelah tiba di tebing barulah Mat Trolak membuka mulut,  sarang tersebut mungkin kepunyaan Sang Bedal.Patutlah ada jalan menuju ke air.Sayangnya, saya tidak sempat merakamkan sarang tersebut kerana hujan yang agak lebat dan juga sedikit rasa takut.Tiada pilihan lain, akhirnya kami menuju ke tampat biasa, sungai Cenderiang berhampiran perkampungan SMTD.
Pencarian kami di sini,turut hampa namun di langit sudah ada tanda-tanda hujan akan turun.Jika hujan lebat, air melepasi tebing, ada harapan jelawat akan kembali meragut umpan.Minggu hadapan kami akan kembali.
Minggu berikutnya kami kembali lagi ke sini, namun keputusanya tetap sama.KOSONG.

2 ulasan:

  1. Berani nya awak Tokan...mujur tak terserempak dengan Sang Bedal...

    BalasPadam
  2. Kerana takut...lari lintang pukang...sampai x ingat nak ambil gambar.

    BalasPadam