Isnin, 27 Mei 2013

Lima Pemancing Kelantan Yang Dilaporkan Hilang Sejak Jumaat Ditemui Selamat

PASIR PUTEH 27 Mei - Lima mangsa yang dilaporkan hilang di perairan Tumpat Jumaat lalu dijumpai dalam keadaan selamat tetapi lemah oleh nelayan tempatan berhampiran pelantar minyak malam tadi.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Wan Burhanuddin Jusoh berkata, hasil maklumat itu bot Kilat 17 dan Kilat 28 bergegas ke lokasi untuk mengambil dan memberi bantuan sewajarnya kepada semua mangsa.

Beliau berkata, seorang mangsa, Mohd. Firdaus Suhaimi, 18, telah dibawa Pasukan Polis Marin ke Pangkalan Kubur apabila mengalami sakit perut dan kini dirawat di Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC), Kota Bharu.

"Mohd. Fadzuan Suhaimi, 25, dari Kampung Dalam Rhu; Mohd. Osman Mohamad, 36, dari Kampung Morak; Mazlan Mohamad, 44, dari Wakaf Che Yeh, dan pemandu bot, Mohd. Masdi Che Hassan, 39, dari Kampung Pantai Cahaya Bulan di bawa ke pangkalan Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali pada pukul 10 pagi ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Wan Burhanuddin berkata, bot pemancing terlibat telah kehabisan minyak dan hanyut ke tengah laut dan operasi menyelamat digerakkan secara bersepadu oleh semua aset Maritim Malaysia termasuk pesawat udara Bombardier, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang didaratkan di pangkalan operasi Maritim Malaysia Kelantan disambut oleh anggota keluarga masing-masing. - UTUSAN.

Sabtu, 25 Mei 2013

4 pemancing dikhuatiri hilang

TUMPAT 25 Mei - Dua beradik bersama sepupu dan rakannya dikhuatiri hilang selepas tidak pulang daripada memancing di laut sejak awal pagi semalam.

Mangsa ialah Mohd. Fadzuan Suhaimi, 25, dan adiknya, Mohd. Firdaus, 18, sepupu mereka, Mohd. Osman Mohamad, 36 , dan pemandu bot, Mohd. Masdi Che Hassan, 39.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Zaharudin Rasip berkata, kesemua mereka dikatakan keluar menaiki bot jenis fiber dari jeti Kampung Dalam Rhu kira-kira pagi 2 pagi semalam.

"Bagaimanapun sehingga kini empat pemancing terbabit tidak pulang dan gagal ditemui. Operasi mencari dilakukan oleh Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Polis Marin Pengkalan Kubor, Asisten Supritendan Wan Ismail Wan Mamat berkata, gerakan mencari kesemua mereka dimulakan sejak pukul 8.30 pagi di perairan negeri ini.

"Operasi mencari diteruskan sekitar 12 batu nautika (22.2 kilometer) dari Kuala Besar bersama dua bot Maritim Malaysia dan sebuah bot Polis Marin. Sehingga tengah hari ini semua empat lelaki terbabit belum ditemui," katanya. - UTUSAN .

Khamis, 2 Mei 2013

Tertusuk Buluh Bendera Parti Politik

ADILA SHARINNI WAHID
3 Mei 2013
Tertusuk buluh bendera
Rohana menemani anaknya yang mendapatkan rawatan di HUSM.

KOTA BHARU - Berpantang ajal sebelum maut. Itu gambaran dialami seorang remaja yang tertusuk serpihan buluh bendera parti pada lehernya dalam kejadian di Kampung Mak Makyong di sini, Selasa lalu.

Insiden berlaku pada jam 8 malam ketika Muhamad Arif Fikri Rosli, 14, menunggang motosikal bersama seorang rakannya, melalui sebuah jambatan kecil.

Ibu mangsa, Rohana Yusof, 58, berkata, Muhamad Arif sebelum itu meminta izin ke pos parti berdekatan untuk makan malam, bagaimanapun begitu ketika melalui jambatan itu, serpihan buluh bendera yang patah tertusuk pada lehernya.

“Keadaan jalan ketika itu gelap dan dia tidak nampak buluh tersebut lalu melanggarnya sebelum memberhentikan motosikal.

“Muhamad Arif dibantu penduduk kampung dan dihantar ke klinik berdekatan sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana pendarahan yang banyak.” katanya ketika ditemui di (HUSM) di sini, semalam.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa anak kelima daripada enam beradik itu ketika berada di surau berhampiran dan bergegas ke lokasi kejadian.

“Saya tidak sempat jumpa Muhamad Arif kerana sudah dibawa ke hospital, bagaimanapun saya bersyukur kecederaan dialami tidak serius dan tusukan buluh itu hanya kena pada kulit dan isinya sahaja. Sikit lagi nak kena pada urat lehernya.

“Syukur alhamdulillah, anak saya selamat walaupun menerima hampir 20 jahitan. Dia sudah boleh makan dan bercakap perlahan-lahan selain dibenarkan pulang hari ini (semalam).,” katanya-SINAR