PASIR PUTEH 27 Mei - Lima mangsa yang dilaporkan hilang di perairan
Tumpat Jumaat lalu dijumpai dalam keadaan selamat tetapi lemah oleh
nelayan tempatan berhampiran pelantar minyak malam tadi.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Wan
Burhanuddin Jusoh berkata, hasil maklumat itu bot Kilat 17 dan Kilat 28
bergegas ke lokasi untuk mengambil dan memberi bantuan sewajarnya
kepada semua mangsa.
Beliau berkata, seorang mangsa, Mohd. Firdaus Suhaimi, 18, telah
dibawa Pasukan Polis Marin ke Pangkalan Kubur apabila mengalami sakit
perut dan kini dirawat di Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC), Kota
Bharu.
"Mohd. Fadzuan Suhaimi, 25, dari Kampung Dalam Rhu; Mohd. Osman
Mohamad, 36, dari Kampung Morak; Mazlan Mohamad, 44, dari Wakaf Che
Yeh, dan pemandu bot, Mohd. Masdi Che Hassan, 39, dari Kampung Pantai
Cahaya Bulan di bawa ke pangkalan Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali
pada pukul 10 pagi ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Wan Burhanuddin berkata, bot pemancing terlibat telah kehabisan
minyak dan hanyut ke tengah laut dan operasi menyelamat digerakkan
secara bersepadu oleh semua aset Maritim Malaysia termasuk pesawat
udara Bombardier, Pasukan Polis Marin dan Pasukan Bomba dan
Penyelamat.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang didaratkan di pangkalan operasi
Maritim Malaysia Kelantan disambut oleh anggota keluarga
masing-masing. - UTUSAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan