Isnin, 3 Ogos 2009

IBADAH SOLAT

IBADAH SOLAT JANGAN DIABAIKAN

Rakan-rakan Puakajoran sekalian, di manapun kita menjoran dan dalam situasi bagaimana sekalipun, amalan solat jangan diabaikan. Usahakan seboleh-bolehnya untuk menunaikannya. walau dalam keadaan dan keupayaan yang terbatas. Solat itu fardhu. Justeru itu menjadi kewajipan bagi setiap penjoran bersedia dengan bekalan untuk solat sebagaimana usaha kita menyediakan bekalan makan dan minum ketika melakukan aktiviti ini. Ingat kaedah usul fikh “ tidak sempurna wajib melainkan dengannya wajib”.

Sebagai contoh wajib untuk kita menyediakan baldi jika dengan baldi itu dapat mengangkat air untuk berwuduk. Tidak perlu beriya-iya dengan kain pelikat atau songkok yang pelbagai, memadailah dengan pakaian yang menutup aurat dan pakaian yang kita yakini bersih. Islam menggalakkan umatnya sentiasa berada dalam keadaan bersih sepanjang masa. Alas untuk solat tidak semestinya dari sejadah baldu tetapi memadailah lapikan daun pisang, kertas surat khabar atau di atas pelepas sawit dan daun paku. Jika kesukaran mendapatkan air kerana tebing yang tinggi atau sungai berbuaya gunakan kemahiran untuk mendapatkan air dengan menggunakan tali pncing dan bekas plastik.

Jika pakaian terkena najis wajib dibasuh sekiranya kita nampak najis dan kesannya pada pakaian kita. Jika tidak, pakaian kita tetap bersih sebagaimana kita mula memakainya tadi dan bolehlah menunaikan solat dengan pakaian itu. Tidak menjadi kesalahan memakai pakaian basah sewaktu bersolat jesteru jika terdesak terjun sahaja ke dalam sungai dan dan segeralah naik untuk menunaikan solat. Ingat! Air yang keruh dan lumpur(selut) juga boleh dibuat bersuci dan berwuduk.

Carilah tempat tinggi sedikit dan pastikan bebas dari najis untuk menunaikan solat. Jangan cari tempat berlurah kerana dibimbangi najis tertakung di situ. Gunakan kepakaran untuk mencari arah matahari terbenam bagi menunjukkan arah kiblat. Kita boleh menggunakan kaedah melihat bintang jika mencari arah kiblat pada waktu malam. Paling tidak, ikut arus air sungai, kebiasaannya arus sungai semulajadi mengalir ke arah matahari terbenam. Gunakanlah kaedah apa sahajapun asalkan kita yakin.

Jika berada di atas sampan, seboleh-bolehnya naiklah ke tebing. Jika menghadapi kesukaran seperti banjir atau bahaya binatang buas, boleh bersolat di atas sampan dengan cara berdiri atau duduk sekiranya sampan tidak dapat diimbang dengan baik. Gunakan objek seperti beg atau pendayung untuk alas sujud. Ingatlah Islam tidak terletak pada nama, tetapi dapat dilihat pada amalannya.Selamat menjoran dan teruskan menjoran tanpa meninggalkan solat……..Tokan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan