Isnin, 25 Jun 2012

Takziah Kepada Fendy Evo dan Keluarga

Redaksi puakajoran.blogspot.com merakamkan ucapan takziah kepada rakan puakajoran Saudara Fendy Evo atas kembalinya ayahanda beliau ke Rahmatullah, Allahyarham En. Abdul Samad pada hari Jumaat bersamaan 22 Jun yang lalu.Dipanjatkan doa muga-moga Allahyarham ditempatkan bersama-sama para solehin.Difahamkan pada ketika itu, saudara Fendy sedang bertugas di negara Mesir.Beliau segera pulang setelah dimaklumkan berita tersebut.Allahyarham meninggal disebabkan sesak nafas. Al Fatihah.....



Ahad, 24 Jun 2012

Kontraktor lemas ketika memancing di Tasik Kenyir

24 Jun 2012
HULU TERENGGANU - Keriangan seorang kontraktor untuk memancing di Sungai Tetuang, Tasik Kenyir bertukar tragedi apabila mangsa terjatuh dari bot sebelum dijumpai lemas di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Ismail Muslim berkata mangsa, Tan Thung Foo, 40, seorang kaki pancing dari Selangor pergi ke sungai berkenaan
untuk memancing bersama seorang rakannya berusia 37 tahun kira-kira 2.45 petang.

Katanya mangsa ke tempat tersebut dengan menaiki bot yang dikemudi oleh rakannya dan apabila sampai di tempat kejadian mangsa cuba mengikat bot berkenaan pada tunggul kayu di tengah tasik tetapi Tan terjatuh kerana gagal mengimbangi badan.

"Kita dimaklumkan mangsa memakai jaket keselamatan tetapi ia hanya disangkut di badan dan tidak diikat dengan kemas menyebabkan hanya jaket tersebut dan topi mangsa timbul selepas mangsa terjatuh," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya selepas melihat mangsa tenggelam, rakannya panik dan tidak mampu berbuat apa-apa dan dia cuba mendapatkan bantuan melalui telefon namun ia agak sukar memandangkan lokasi berkenaan adalah di luar rangkaian talian.

Mohd Ismail berkata bertindak atas laporan pihak polis dan 13 anggota jabatan bomba dan penyelamat Hulu Terengganu bersama dua buah bot tiba di tempat kejadian pada 6 petang, yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Pengkalan Gawi.

"Mayat mangsa ditemui kira-kira 7.40 pagi tadi yang terapung tidak jauh dari tempat dia terjatuh dan mayat dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat," katanya.

Sementara itu, Mohd Ismail mengingatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan untuk melakukan sebarang aktiviti di Tasik Kenyir terutamanya perlu memakai jaket keselamatan dengan betul. - Bernama

Tokan: Pada tarikh yang sama juga, sahabat-sahabat puakajoran.blogspot sedang mengadakan jelajah dan rekreasi di Tasik Banding, Perak selama 2 hari 1 malam.Harap-harap mereka seronok dan selamat.

Khamis, 7 Jun 2012

Himpunan Hijau Di Tuas

Mengambil kesempatan daripada peristiwa Himpunan Hijau ke Putra Jaya, Rakan-rakan Puakajoran.blogspot tidak mahu ketinggalan. Bukan Himpunan Hijau ke Putra Jaya sebaliknya Himpunan Hijau ke Tuas.Memburu tenggiri.Misi kali ini disertai oleh Juragan Nizam, Abu Affaf, Kudin Puakajoran,Tokan Puakajoran dan sahabat joran dari Ulu Langat Selangor terdiri daripada Saudara Solehen (Oyen), Saudara Mohd Shah dan Saudara Redzuan serta dua orang anaknya. 

Trip-trip menjoran terdahulu, biasaannya Pengkalan Nelayan Kuala Dulang menjadi pilihan namun pada kali ini kami mencuba kelainan. Pengkalan Nelayan Tanjung Dawai menjadi pilihan. Kelebihannya, pemancing tidak perlu berkejar-kejar dan terikat dengan pasang surut air. Pemancing boleh bertolak seawal pukul 6.30 pagi dan pulang pada pukul 5.30 petang. Jangka masa menjoran juga agak lama berbanding melalui pengkalan Sungai Dulang. Bayarannya mungkin lebih sedikit iaitu RM 550.00 untuk 1 trip bot berkapisiti 7 orang penjoran termasuk tekong berbanding RM 500.00 di Kuala Dulang.

Selain itu, penjoran juga dapat membeli ikan dan udang segar di pengkalan dengan harga peraih dan saya kira berpatutan. Dalam perjalanan pulang penjoran juga boleh membeli hasil laut di pekan Tanjung Dawai antaranya belacan, ikan bilis pelbagai jenis, talang dan kurau masin serta produk-produk lain yang dihasilkan nelayan setempat.

Penjoran Hijau sedang meninjau lokasi sebelum berlepas.


 Memulakan aksi setelah tiba di tuas.

 Paling menarik, tenggiri di sini (Tuas Selatan) bersaiz mega.
Juragan Nizam dengan tenggiri yang ditewaskannya, hampir 7 kg.

Abu Affaf dengan "pecah periuk" atau lebih dikenali di kalangan nelayan tempatan dengan panggilan Pak Ti Puk.

 Dua ekor pecah periuk hampir 2 kg ditewaskan oleh Abu Affaf.

 Satu-satunya tenggiri yang tewas pada hari ini.





Dua ekor pecah periuk menjadi santapan kami seramai 9 orang.
Trip terpaksa ditangguhkan agak awal kerana panggilan kecemasan. Bapa kepada tekong bot yang sedang dirawat di unit kecemasan memerlukan pembedahan segera. Mahu tidak mahu terpaksalah misi "Hijau di Tuas" ditamatkan.Kami berlepas pulang pada pukul 12.55 tengah hari.Tangkapan lain pada hari tersebut antaranya cencaru,kerisi, selar dan lain-lain.Walaupun tidak banyak tetapi cukuplah untuk bekalan dua atau tiga hari.Peristiwa yang masih segar dalam ingatan, bukan sahaja  suasana "hijau" dapat dipamirkan bahkan sebilangan rakan kami "muntah hijau " kerana jarak perjalanan yang agak jauh atau keletihan.

Selasa, 5 Jun 2012

Patin dan Jelawat Sungai Cenderiang

Paparan tertunda lagi.Aktiviti dilakukan pada pertengahan April yang lalu. Destinasi utama kami ialah menjinakkan jelawat Tronoh Mines yang sudah beberapa tahun tidak dikunjungi.Sebelum ke destinasi sempat singgah di sungai Cenderiang.Walaupun riak jelawat kerap kelihatan namun tidak mahu menjamah umpan.Hanya joran Mat Trolak yang menjadi pilihan. Seekor patin dan seekor jelawat bersaiz 'S" (bawah 1 kg) .
 


Memadai dengan 2 ekor tangkapan akhirnya kami bergerak ke Tronoh Mines.Sudah berubah rupanya suasana Tronoh Mines. Lokasi menjoran semakin mengecil.Pekebun dan penerokaan tanah untuk pertanian semakin rakus dan tamak. Sekitar lombong yang pecah ke sungai Kinta sudah dipagar.Hutan dipugar.Begitu menyesakkan sehinggakan kami mengalami kesukaran untuk mencari "port" yang sesuai ditambah pula beberapa orang penjoran yang saya kira begitu tamak merebut lokasi yang terhad. Lebih 20 batang joran untuk seorang pemancing. Mahu ke mana lagi kami. Hanya mencelah diantara joran mereka. Sungguh tidak selesa.Kebetulan hujan dan ribut yang melanda tiba-tiba.Kami bertambah tidak selesa.Akhirnya saya,Juragan Nizam,Cepoi dan Mat Trolak beransur pulang menjelang pukul 3.00 pagi.Hanya Mat Trolak berjaya menjinakkan seekor jelawat di sini menjadikan jumlah tangkapannya 3 ekor pada hari itu.Aksi dan aktiviti di Tronoh Mines tidak dapat dirakamkan kerana faktor cuaca.