TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 8)
Ramadhan: Dugaan dan keampuhan doa
Mac 2009 mencatat satu sejarah duka dalam kehidupan saya 5 bulan setelah kembalinya ayahanda ke Rahmatullah kami sekeluarga dikejutkan dengan pemergian adinda saya pada ketika itu berumur 33 tahun. Beliau pergi dalam keadaan tidak mengidap sebarang penyakit,tiba tiba jatuh di majlis persiapan kenduri perkahwinan.Beliau tidak sedarkan diri dan doktor mnegesahkan berlaku pendarahan dalam kepala. Seluruh keluarga dirundung sedih dan sayu apatahlagi mengenangkan 3 anak anak yang masih kecil.Keadaan bertambah kritikal apabila doktor yang terlibat merawat beliau memaklumkan pembedahan tidak dapat dilakukan kerana keadaannya terlalu kritikal dan peluangnya terlalu tipis. Tiga hari bertarung nyawa dengan kepakaran manusia yang terbatas adinda saya menghembuskan nafas terakhir dan seluruh keluarga menerima ketentuan itu dengan redha.
Hari ini 8 Ramadhan, kotak masej wassap saya digegarkan dengan berita yang hampir sama berlaku kepada sahabat sepengajian di ardil kinanah dahulu saudara Muhammad kamal Salleh tenaga pengajar di SARJANA Kg Gajah Perak.Beliau dalam rencana membawa nak beliau mendapatkan rawatan jantung di IJN 2 hari lepas, setelah sampai di Kuala Lumpur beliau barangkali dalam keadaan keletihan diserang minor stroke. Seluruh rakan taulan terkesima dengan berita sayu ini.
Bagi saya kenangan 6 tahun lalu kembali merentap tangkai jantung saya.Kotak mesej tidak sanggup saya buka apatah lagi wajah sahabat yang dikirim dalam keadaan terbaring di katil hospital benar benar mengimbau kembali wajah adinda saya ketika dirawat dalam tempoh 3 hari dihospital dalam keadaan kritikal tersebut.Hati bagai tidak sanggup menerima perkhabaran dukacita.Namun jika suratan menentukan apa daya upaya untuk kita menolak rencana Yang Maha kuasa.
Semalam sekitar jam 11.50 malam tadi saya jengah kotak masej wassap saya dan ada berita dan perkembangan terbaru.Beliau selamat menjalani pembedahan dan menurut sahabat keadaannya 50-50. Hati saya berkata nasibnya agak baik berbanding adinda saya yang terlalu kritikal dan sebarang pembedahan tidak dapat dilakukan.
Kini seluruh sahabat handai merencana peduli untuk membantu sekadar yang perlu untuk membantu anak anaknya yang masih kecil dan dalam keadaan mengidap sakit pula.Apa yang paling perlu adalah pengharapan dan munajat tidak putusd putus mesti di panjatkan ke hadrat Allah swt agar ketentuan terbaik dilimpahkan kepada sahabat kami ini.
Kehadiran Ramadhan bersama ujian ini boleh sahaja berlaku, tidak kira siapa pun kita orang biasa atau insan ternama.kalau ini sebahagian kisah kisah perjalanan hamba yang berlaku di sisi kita, di sana dan di luar sana ribuan dan jutaan lagi manusia sedang bertarung dengan ujian dan ibtilak ini.Namun isinya apakah kita meletakkan apa yang berlaku ini pada kedudukan pengharapan yang jitu pada pencipta atau sebaliknya.
Kesempatan ini saya ingin mencuri perhatian saudara saudara khalayak semua untuk kembali merafak sembah kehadrat Rabbul Jalil dan merenung keampuhan doa.Sedarlah Allah yang maha pemurah tidak akan pernah jemu mendengar rintihan hambaNya.Dia berada hampir dengan kita mendengar dan mendengar dan terus setiap ulas bisikan dan pengharapan hambaNya.
Firman Allah swt yang bermaksud:
“ Dan apabila hamba hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku,maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat.Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada Ku,maka hendaklah mereka memenuhi(segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran”
(Al baqarah ;Ayat 186)
Semoga Allah menyembuhkan sahabat saya yang sedang dirawat sekarang dan sentiasa mendapat rahmatnya daripadaNya.Begitu juga semoga ahli keluarga bersabar atas musibah yang melanda. Bersama ramadhan ini semoga seluruh kita juga dipayungi Rahmat Allah yang tidak kunjung henti Insyaallah.
ABD WAHID ZAINOL ABIDIN @ ABU AFAF
Az Zahrah,Hulu Langat
8 Ramadhan 1436
SEKADAR RENUNGAN
“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti akan kalah jika berhujah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil tidak pernah faham landasan ilmu”- Imam as Syafie.
Peringatan Kepada Yang Lupa
Ibadah Solah Jangan diabaikan
Rakan-rakan joran sekalian, di manapun kita menjoran dan dalam situasi bagaimana sekalipun, amalan solat jangan diabaikan. Usahakan seboleh-bolehnya untuk menunaikannya. walau dalam keadaan dan keupayaan yang terbatas. Solat itu fardhu. Justeru itu menjadi kewajipan bagi setiap penjoran bersedia dengan bekalan untuk Solat sebagaimana usaha kita menyediakan bekalan makan dan minum ketika melakukan aktiviti ini. Ingat kaedah usul fikh “ tidak sempurna wajib melainkan dengannya wajib”.
Sebagai contoh wajib bagi kita menyediakan baldi jika dengan baldi itu dapat mengangkat air untuk berwuduk. Tidak perlu beria-ia dengan kain pelikat atau songkok yang pelbagai, memadailah dengan pakaian yang menutup aurat dan pakaian yang kita yakini bersih. Islam menggalakkan umatnya sentiasa berada dalam keadaan bersih sepanjang masa. Alas untuk solat tidak semestinya dari sejadah baldu tetapi memadailah lapikan daun pisang, kertas surat khabar atau pelepah sawit dan daun pakis. Jika kesukaran mendapatkan air kerana tebing yang tinggi atau dibimbangi menjadi mangsa buaya, gunakan kemahiran untuk mendapatkan air dengan menggunakan tali pancing dan bekas plastik.
Jika pakaian terkena najis wajib dibasuh sekiranya jelas terlihat najis atau kesannya pada pakaian kita. Jika tidak, pakaian kita tetap bersih sebagaimana kita mula memakainya dan bolehlah menunaikan solat dengan pakaian itu. Tidak menjadi kesalahan memakai pakaian basah sewaktu bersolat jesteru jika terdesak turun sahaja ke dalam sungai dan dan segeralah naik untuk menunaikan solat. Ingat! Air yang keruh dan lumpur (selut) juga boleh dibuat bersuci dan berwuduk.
Carilah tempat tinggi dan pastikan bebas dari najis untuk menunaikan solat. Jangan solat di tempat berlurah kerana dibimbangi najis tertakung di situ. Gunakan kepakaran untuk mencari arah matahari terbenam bagi menunjukkan arah kiblat. Boleh juga menggunakan kaedah melihat bintang untuk mencari arah kiblat jika menjoran pada waktu malam. Arus air sungai juga boleh dijadikan pedoman, kebiasaannya arus sungai semulajadi mengalir ke arah matahari terbenam. Gunakanlah kaedah apapun asalkan kita yakin.
Jika berada di atas sampan,usahakan untuk naik ke tebing. Jika menghadapi kesukaran seperti banjir atau bahaya binatang buas, boleh bersolat di atas sampan dengan cara berdiri atau duduk sekiranya sampan tidak dapat diimbang dengan baik. Gunakan objek seperti beg atau pendayung untuk alas sujud. Ingatlah Islam tidak terletak pada nama, tetapi dapat dilihat pada amalannya.Selamat menjoran dan teruskan menjoran tanpa meninggalkan solat-Tokanpuakajoran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan