Selasa 15.12. 2009. Setelah menghantar Isteri ke SMK Sheikh Abdul Ghani, Bidor, saya terus memandu ke arah Tapah. Ke pot jelawat.Jelawat yang berjaya melepaskan diri pada 13.12.09 yang lalu sedang berpuaka di fikiran.Dalam tidur ternampak-nampak joran Tycoon dilentur keras.
Sampai di lokasi lebih kurang 9.00 pagi. Dalam perjalanan ke "pot"
jelawat puaka, sempat juga mengambil dua keping gambar parit ladang di bawah yang mungkin menjadi habitat haruan. Salah satu parit airnya agak keruh.

Sampai di "pot" setengah jam kemudian. Terpaksa meredah denai kerbau. Kenderaan ditinggalkan agak jauh kerana jalan yang terlalu becak. Tanpa berlengah terus membuat lontaran mata kail berumpan sawit racik.


Setelah selesai melabuhkan ke tiga-tiga batang joran, saya mengumpul sawit busuk yang terdapat sekitar situ lalu saya masukkan ke dalam "jut".

Sawit tadi dipecahkan dengan cara memijak-mijaknya.

Sawit yang beraroma direndamkan ke dalam sungai.

Aroma dan lelehan minyak sawit tersebut saya jangkakan akan dapat menarik Sang Jelawat yang bersaiz besar untuk keluar daripada tempat persembunyian mereka.

Saya terus menanti sambil memasang angan-angan.

Hampir 4 jam menanti, hanya getusan ikan kecil dapat diperhatikan dari hujung joran yang tergedik-gedik. Itupun hanya sesekali.

Lebih kurang pukul 2.00 petang tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi loceng yang agak kuat. Saya lihat joran Tycoon sudah melengkung.Terus mendapatkan joran dan cuba menjinakkan mangsa yang termakan umpan. Dalam keadaan kelam kabut Sang Jelawat yang saya kira agak besar berjaya menyelinap di bawah bangkar terberau. Saya telah terlihat kelibat jelawat tersebut dan saya pasti beratnya paling kurang 1.5 kg. Mahu tidak mahu saya terpaksa juga turun ke dalam sungai untuk melepaskan jelawat yang tersangkut. Saya kira tempat tersebut agak cetek.Setelah turun, kedalamannya hampir ke paras leher saya. Hati pun mula rasa kecut namun Sang Jelawat berjaya saya keluarkan.

Shimano dan Tycoon yang menebus kehampaan pada sesi yang lalu.

Pertarungan seterusnya berlaku pada pukul 4.59 petang. Ketika saya sedang solat asar pada pertengahan bacaan Tahyiat Akhir, kedengaran loceng dan saya dapati joran lemax sedang melentur dan diasak dengan kuat. Nasib baik saya sudah selesai solat. Jika tidak mahu melompat saya agaknya. Saya terus mendapatkan joran dan tidak sukar untuk mendaratkan Sang Jelawat tersebut memandangkan teberau yang sebelum ini membuatkan situasi sukar untuk melakukan pendaratan, sebahagiannya telahpun saya lanyak, sewaktu pertarungan yang pertama tadi.



Inilah mangsa kedua yang kecil sedikit daripada yang pertama.



Kesan teberau yang melesak akibat dua kali pertarungan.

Terakhirnya sedang saya berkemas-kemas untuk pulang, tiba-tiba joran Tycoon sekali lagi disentap. Saya agak lewat dan tidak begitu perasan mungkin disebabkan loceng telah saya tanggalkan. Jelawat berjaya menyelinap ke bawah bangkar teberau. Aksi rentapannya agak perlahan. Saya terpaksa memikir dua kali sama ada mahu turun atau tidak memandangkan jarak sangkutnya agak jauh. Saya berusaha sekadar termampu dan akhirnya Sang Jelawat yang ke 3 berjaya meloloskan diri.
Bersedia untuk pulang dengan 2 jelawat bersaiz besar.

Lagi lokasi yang mungkin dihuni oleh haruan.

Dua ekor jelawat masih hidup ketika dimasukkan ke dalam bonet

Sempat beraksi di hadapan rumah.

Beraksi di ruang bilik bedah (dapur)

Dua ekor jelawat berada di dalam sink untuk proses autopsi.

Hasil autopsi kedua-dua ekor jelawat ini berkemungkinan
jantan kerana mempunyai
telur (ha ha ha). Maknanya sekarang, ikan jelawat perlu banyak makan untuk mengumpul tenaga dan kekuatan bagi proses melepaskan telur apabila air besar nanti. Kaki joran! jangan berlengah lagi. Inilah masanya bertarung habis-habisan.
Aksi seterusnya pada Khamis ini.... SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH sehari dua lagi! Makan
Rendang Jelawat kita....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan