Buaya Sungai Gedong - Gambar Hiasan
Oleh: Abd Rahman Adam
Bekenu: Seorang warga emas berdepan detik menakutkan selepas bergelut hampir lima minit dengan buaya yang membaham kakinya dalam kejadian di Sungai Suai dekat Rumah Panjang Gerang, di sini, kelmarin.
Nasib baik keberanian wanita itu menendang mata buaya yang menyambar
kaki kanannya dapat menyelamatkannya daripada dibaham reptilia ganas
itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Manggin
Nueng, 65, dikatakan baru selesai membasuh pakaian di tebing sungai
berkenaan tanpa menyedari kehadiran buaya itu.
Bagaimanapun, ketika bersiap mahu pulang ke rumah panjangnya,
reptilia ganas itu tiba-tiba muncul lalu menyambar kaki kanan Manggin
sebelum cuba mengheretnya ke tengah sungai.
Manggin berkata,
sebaik kakinya disambar dia menjerit meminta pertolongan anak
perempuannya yang kebetulan sedang mandi tidak jauh dari lokasi kejadian
supaya mendapatkan bantuan penduduk rumah panjang mereka.
“Buaya itu cuba mengheret saya ke tengah sungai... saya hampir lemas
ketika itu. Saya kuatkan semangat dan berkata pada diri sendiri, saya
tidak mahu mati lalu menendang mata buaya itu sekuat hati.
“Hampir lima minit saya bergelut, buaya itu kemudian melepaskan
gigitannya. Saya berenang ke tebing sungai sambil dibantu anak perempuan
dengan kaki kanan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di Hospital
Miri, di sini semalam.
Manggin berkata, dia bernasib baik
kerana terselamat daripada serangan buaya itu, apatah lagi saiz reptilia
itu yang agak besar.
Katanya, insiden serangan buaya itu kali pertama berlaku di kawasan jeti berhampiran rumah panjangnya itu.
“Memang pernah berlaku serangan, tidak sangka kali ini ia berlaku di
kawasan kami. “Saya pernah lihat buaya muncul di sungai, namun
kejadian yang menimpa saya ini adalah serangan pertama membabitkan
penduduk rumah panjang kami,” katanya.
Difahamkan, penduduk
rumah panjang Gerang bergantung kepada Sungai Suai untuk mandi dan
membasuh pakaian berikutan tiada bekalan air bersih disalurkan kepada
penduduk di penempatan terbabit.
Sementara itu, jurucakap
Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam satu kenyataan memaklumkan
agensi terbabit sudah menghantar pegawai dan kakitangan dari Pasukan
Khas Hidupan Liar (SWAT) untuk melakukan operasi menangkap buaya
berkenaan.
“Kita sudah memasang perangkap (pancing) di sungai
berkenaan untuk menangkap buaya yang mengganas di sungai berkenaan.
“Sehingga hari ini (semalam) belum ada buaya terperangkap di situ,”
katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/02