Isnin, 7 Disember 2015
Trip Santai Melalui Chalet Terapung Segantang Garam
Khamis, 27 Ogos 2015
Trip Pulau Sembilan dengan Bot Tekong Din Pangkor - 13 Jun 2015 Paparan Tertunda
Pukul 9.00 pagi, kami dari serata arah, cikgu Nizam dari Parit Buntar, cikgu Hafiz dari Bagan Serai, Dr. Daud dan Along dari Kampar,Cikgu Rozidi dari Bagan Serai, saya dari Slim River dan Pak Dolah dari Felda Gunung Besout sudah terpacak berhampiran medan ikan bakar yang kebetulan menjadi pengkalan bot berlepas.
Sejam berlalu, dua jam berlalu sehinggalah kami mengambil keputusan menelefon tekong. Sekejap lagi ungkap tekong. Penantian kami berakhir pada pukul 12.00 tengah hari. Setelah memuatkan barang-barang, kamipun berlepas.Tekong dengan seribu alasan memohon maaf sebab terlewat. "Khidmat terbaik" dan kami hanya mampu tersenyum
.
Tekong dan pembantunya seperti teruja sendirian memerhatikan aksi kami mendaratkan ikan-ikan kecil bertali arus. Kami diamuk resah, seperti baru turun kali pertama pula untuk memancing.
Paling tidak dapat dilupakan apabila tekong membisikkan " Di sini ikan tak kenal umpan jig". Kami terdiam, misi bertukar. Mancing anak cencaru sahajalah.
Sebentar kemudian pembantu tekong mula menyediakan menu. Anak-anak ikan cencaru dan ikan kembung menjadi teman sajian makan kami. Itulah masa makan pertama kami.Tak apalah, masa masih panjang.
Sebelum ini tekong menjanjikan menyediakan makan tiga kali sewaktu kami beraktiviti.Selepas makan tekong @ pembantunya mengarahkan bot ke Pulau 9.
Sayangnya, kami kesuntukan masa. Sebentar kemudian hari beransur gelap.Tidak banyak cencaru kuda yang dapat kami tawan.Hati kami tertanya-tanya mengapa tekong tidak bawa kami ke sini lebih awal?
Sotong gagal kami perolehi. Tekong dan pembantu tekong mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan sotong sebagai umpan jenahak. Hanya beberapa ekor yang dapat ditangkap. Kami berjimat.
Pada masa yang sama kami cuba juga menjinakkan sotong supaya timbul untuk kami jadikan umpan. Hampa. Mujur jugalah kami memesan tekong supaya menyediakan umpan alternatif, ikan kembung dan udang hidup. Ikan malam tidak mahu menjamah umpan seperti itu rupanya.
Tekong dan pembantu tekong beradu awal malam itu.Tinggallah kami terkial-kial, berjegil menahan mengantuk lantaran ikan tidak mahu menjamah umpan. Malam yang semakin mendingin tidak lagi dingin. Hati terasa panas.
Di haluan Dr. Daud masih setia memujuk Sang Jenahak. Along pula mundar mandir memujuk sotong. Sesekali cikgu Nizam juga. Cikgu Rozidi dan cikgu Hafiz melayan angin malam. Hujan turun renyai-renyai.
Tekong dan pembantunya terus dibuai mimpi. Pukul 4.00 pagi tekong terpaksa bangun, generator kehabisan minyak. Tambah minyak, sambung mimpi semula. Kami juga memujuk mata untuk turut bermimpi dengan hati yang terus panas dan perut yang lapar.
Keesokannya kami bersedia agak awal. Selepas solat subuh kami disediakan kopi O panas dan biskut kering. Alhamdulillah. Sejurus kemudian kami bergerak ke lokasi. Pembantu tekong rancak bercerita tentang ikan-ikan di lokasi tersebut. Kerapu sebesar lorilah dan banyak lagi.
Kami melabohkan umpan.Hanya 2 ekor talang bersaiz sedang dan 2 ekor ebek bersaiz S kami daratkan. Laut bergelora dan hujan mulai turun.Berengsot-engsot kami meninggalkan lokasi.
Alhamdulillah. Rezeki kami setakat itu sahaja. Paparan ini tidak bermaksud mempertikai dan membuka aib sesiapa, hanya sekadar berkongsi pengalaman. Merasai jerih perih kehidupan nelayan mengharungi samudra biru yang penuh gelora. - Catatan Tokanpuakajoran, - Gambar ikhsan Dr. Daud.
Jumaat, 20 Jun 2014
Hasil Jigging di Pulau Sembilan 11 Jun 2014, Rindunya Bau Laut....
Lihat aksi Abang Misai. Sejak tidak memakai misai rezekinya menjadi-jadi.
Sahabat yang belum saya kenali ini turut beraksi cemerlang.
Memunggah hasil laut Pulau Sembilan.
Meskipun kumpulan kami (Rakanpuakajoran) kumpau di Tuas Yan, kami tetap tidak berputus asa. Trip kami mungkin berehat sehinggalah Aiddil Fitri ke 7. Jangkamasa tersebut terlalu lama.....Rindunya membau laut!
Arkib Layan Tenggiri Yan - Tokanpuakajoran
Arkib Layan Layaran Tuas Yan - Cikgu Lah Puakajoran
Arkib - Layan Rohu Sungkai
Arkib Layan Kelabau 4 - Juragan Nizam
Arkib Layan Kelabau - Tokanpuakajoran
Arkib Layan Kelabau 2 - Juragan Nizam
Arkib Layan Kelabau 1 - Juragan Nizam
Arkib Layan Toman Bukit Merah - Juragan Nizam
SEKADAR RENUNGAN
Peringatan Kepada Yang Lupa
Rakan-rakan joran sekalian, di manapun kita menjoran dan dalam situasi bagaimana sekalipun, amalan solat jangan diabaikan. Usahakan seboleh-bolehnya untuk menunaikannya. walau dalam keadaan dan keupayaan yang terbatas. Solat itu fardhu. Justeru itu menjadi kewajipan bagi setiap penjoran bersedia dengan bekalan untuk Solat sebagaimana usaha kita menyediakan bekalan makan dan minum ketika melakukan aktiviti ini. Ingat kaedah usul fikh “ tidak sempurna wajib melainkan dengannya wajib”.
Sebagai contoh wajib bagi kita menyediakan baldi jika dengan baldi itu dapat mengangkat air untuk berwuduk. Tidak perlu beria-ia dengan kain pelikat atau songkok yang pelbagai, memadailah dengan pakaian yang menutup aurat dan pakaian yang kita yakini bersih. Islam menggalakkan umatnya sentiasa berada dalam keadaan bersih sepanjang masa. Alas untuk solat tidak semestinya dari sejadah baldu tetapi memadailah lapikan daun pisang, kertas surat khabar atau pelepah sawit dan daun pakis. Jika kesukaran mendapatkan air kerana tebing yang tinggi atau dibimbangi menjadi mangsa buaya, gunakan kemahiran untuk mendapatkan air dengan menggunakan tali pancing dan bekas plastik.
Jika pakaian terkena najis wajib dibasuh sekiranya jelas terlihat najis atau kesannya pada pakaian kita. Jika tidak, pakaian kita tetap bersih sebagaimana kita mula memakainya dan bolehlah menunaikan solat dengan pakaian itu. Tidak menjadi kesalahan memakai pakaian basah sewaktu bersolat jesteru jika terdesak turun sahaja ke dalam sungai dan dan segeralah naik untuk menunaikan solat. Ingat! Air yang keruh dan lumpur (selut) juga boleh dibuat bersuci dan berwuduk.
Carilah tempat tinggi dan pastikan bebas dari najis untuk menunaikan solat. Jangan solat di tempat berlurah kerana dibimbangi najis tertakung di situ. Gunakan kepakaran untuk mencari arah matahari terbenam bagi menunjukkan arah kiblat. Boleh juga menggunakan kaedah melihat bintang untuk mencari arah kiblat jika menjoran pada waktu malam. Arus air sungai juga boleh dijadikan pedoman, kebiasaannya arus sungai semulajadi mengalir ke arah matahari terbenam. Gunakanlah kaedah apapun asalkan kita yakin.
Jika berada di atas sampan,usahakan untuk naik ke tebing. Jika menghadapi kesukaran seperti banjir atau bahaya binatang buas, boleh bersolat di atas sampan dengan cara berdiri atau duduk sekiranya sampan tidak dapat diimbang dengan baik. Gunakan objek seperti beg atau pendayung untuk alas sujud. Ingatlah Islam tidak terletak pada nama, tetapi dapat dilihat pada amalannya.Selamat menjoran dan teruskan menjoran tanpa meninggalkan solat-Tokanpuakajoran.