Menurut ibu, tanaman unik ini ialah limau kasturi. Lazimnya masyarakat mengenali limau kasturi ialah limau yang banyak ditanam oleh petani dan digunakan secara meluas dalam masakan, jus, perisa minuman dan bahan asas beberapa kosmetik secara tradisional. Menurut ibu, limau yang dikenali oleh masyarakat ramai sebagai limau kasturi itu sebenarnya limau kerisik. Limau kasturi tergolong dalam tumbuhan renek, tingginya di bawah 1.5 meter. Daunnya kecil, hampir menyerupai daun delima namun mempunyai pecahan 3 bagi setiap tangkai.Mengeluarkan buah yang hanya sebesar hujung jari kelingking orang dewasa dan mempunyai hanya satu biji benih di dalamnya. Rasanya masam dan agak pedar berbanding limau kerisik.Tidak dapat dipastikan apakah kegunaannya, tetapi masyarakat Melayu lebih terarah kepada amalan perubatan tradisional.
Daun limau kasturi.
Buah yang masih muda berwarna hijau.
Buah yang telah masak.
Boleh juga dilihat di http:
//agrohias.blogspot.com/
Pastinya tidak asing lagi bagi kebanyakan masyarakat Asia.Sinonim dengan masakan tom yam .Daun limau purut adalah salah satu bahan utama untuk menerbitkan aroma bagi masakan tersebut. Daun limau ini juga digunakan sebagai bahan penambah aroma bagi masakan lain antaranya rendang dan asam pedas. Buahnya pula digunakan dengan meluas oleh orang-orang Melayu sebagai salah satu bahan perubatan tradisional.Pada masa lampau,limau purut beserta "sintuk" digunakan sebagai campuran bahan mandian bagi perempuan yang lepas pantang. Mungkin dianggap sebagai "body shampoo" pada masa itu. Saya tidak pasti sama ada perahan limau ini boleh digunakan untuk menghilangkan bau hanyir ikan. Limau purut yang saya paparkan ini adalah dari jenis yang kecil buahnya. Setahu saya terdapat dua jenis limau purut, iaitu jenis besar dan kecil buahnya. Dikatakan daun limau purut jenis kecil ini mengeluarkan aroma lebih kuat.Rasanya pula lebih baik berbanding limau purut jenis besar yang agak pahit.

Satu lagi koleksi tanaman ibu ialah limau bali.Limau bali atau juga dikenali sebagai limau tambun atau pomelo dalam bahasa Inggeris.Di Perak, tanaman ini banyak ditanam di sekitar Tambun dan amat sinonim dengan nama limau Tambun.Nama saintifik bagi Limau Bali ialah Citrus Grandis (L) atau Citrus maxima. Limau ini ditanam sejak empat tahun yang lalu di sekitar rumah ibu, hasil sumbangan Jabatan Pertanian Perak. 8 pokok kesemuanya, namun tidak semua dapat hidup subur mungkin tidak begitu sesuai dengan keadaan tanah atau penjagaan yang tidak sempurna. Pada saya, klon ini tidak selasak limau bali asal yang buahnya lebih kecil sedikit. Di kampung saya disebut limau "gedangsa".Pokoknya amat lasak dan dapat hidup hingga puluhan tahun. Terdapat 2 jenis limau gedangsa, iaitu yang berwarna merah dan putih isinya. Satu ketika dahulu,limau bali yang paling manis dan baik boleh didapati di gerai-gerai tepi jalan sekitar pekan kecil Sungai Gedong, Perak.Hasil keluaran petani tempatan. Sekarang saya tidak pasti sama ada limau bali masih dijual di situ atau tidak.
LIMAU TELUR BUAYA
"Limau telur buaya".Sejenis lagi limau yang menjadi koleksi tanaman ibu. Buahnya berbentuk bulat lonjong. Berwarna kehijau-hijauan dan berubah kekuningan apabila matang. Hampir menyerupai lemon tetapi saiznya lebih besar, kulitnya agak tebal dan rasanya masam bercampur sedikit pahit. Secara tradisinya limau ini dijeruk,dikeringkan dan dijadikan acar oleh sesetengah orang yang menggemarinya.Perahan limau ini juga sesuai dijadikan perisa masakan dan boleh juga digunakan untuk menghilangkan hanyir ikan.
Cincaluk,cili api,bawang besar dan perahan limau. Kena pula dengan jelawat atau kelabau bakar, pastinya menyelerakan apabila dijadikan juadah berbuka.Sebenarnya topik ini bukanlah untuk melayan selera makan tetapi untuk berkongsi info tentang limau yang agak unik ini. Ini bukan limau madu atau limau manis. Bukan juga limau lemon.Limau ini mengeluarkan jus yang banyak lantaran saiznya yang besar. Boleh mencecah 300g sebiji jika bilangannya dihadkan. Rasanya seakan-akan limau nipis.Amat sesuai dibuat jus atau penambah perisa dalam masakan. Juga boleh dijadikan bahan pencuci untuk menghilangkan hanyir ikan. Uniknya, limau ini boleh dibiakkan melalui keratan batang tanpa ditut atau melalui proses cantuman. Maklumat lanjut di
http://agrohias.blogspot.com/
* Cincaluk : http://www.malaysianfood.net/recipes/recipecincaluk.htm
Tidak lengkap jika memasak ikan sungai tanpa memasukkan belimbing buluh.Gulai lemak cili api,asam pedas patin atau baung pastinya akan lebih lazat jika ditambah belimbing ini bersama-sama bunga kantan atau daun kesum. Ramadhan Mubarak akan menjelma tidak lama lagi, aktiviti di laut mungkin terhenti seketika namun tidak untuk aktiviti air tawar.Lambaian sungai Cenderiang dan sungai Ulu Basir seperti terbayang-bayang di ruang mata. Ayuh ke sungai kita....
Catatan lengkap di sini
http://agrohias.blogspot.com/
Pohon buah randa.Salah satu tanaman yang agak unik.Saya tidak pasti jika ada nama lain. Malas nak selongkar dalam internet. Cukuplah saya paparkan dengan nama yang biasa disebut oleh masyarakat setempat. Tumbuhan ini tergolong dalam kumpulan pohon renek dari suku sakat limau juga. Warna buahnya putih kemerah-merahan ketika muda dan bertukar menjadi merah apabila matang.Rasanya masam-masam kelat.Boleh dimakan mentah, dengan cara dicicah sedikit garam atau boleh juga dibuat jeruk atau halwa.
Maklumat lanjut :
http://agrohias.blogspot.com/
SEKADAR RENUNGAN
“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti akan kalah jika berhujah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil tidak pernah faham landasan ilmu”- Imam as Syafie.
Peringatan Kepada Yang Lupa
Ibadah Solah Jangan diabaikan
Rakan-rakan joran sekalian, di manapun kita menjoran dan dalam situasi bagaimana sekalipun, amalan solat jangan diabaikan. Usahakan seboleh-bolehnya untuk menunaikannya. walau dalam keadaan dan keupayaan yang terbatas. Solat itu fardhu. Justeru itu menjadi kewajipan bagi setiap penjoran bersedia dengan bekalan untuk Solat sebagaimana usaha kita menyediakan bekalan makan dan minum ketika melakukan aktiviti ini. Ingat kaedah usul fikh “ tidak sempurna wajib melainkan dengannya wajib”.
Sebagai contoh wajib bagi kita menyediakan baldi jika dengan baldi itu dapat mengangkat air untuk berwuduk. Tidak perlu beria-ia dengan kain pelikat atau songkok yang pelbagai, memadailah dengan pakaian yang menutup aurat dan pakaian yang kita yakini bersih. Islam menggalakkan umatnya sentiasa berada dalam keadaan bersih sepanjang masa. Alas untuk solat tidak semestinya dari sejadah baldu tetapi memadailah lapikan daun pisang, kertas surat khabar atau pelepah sawit dan daun pakis. Jika kesukaran mendapatkan air kerana tebing yang tinggi atau dibimbangi menjadi mangsa buaya, gunakan kemahiran untuk mendapatkan air dengan menggunakan tali pancing dan bekas plastik.
Jika pakaian terkena najis wajib dibasuh sekiranya jelas terlihat najis atau kesannya pada pakaian kita. Jika tidak, pakaian kita tetap bersih sebagaimana kita mula memakainya dan bolehlah menunaikan solat dengan pakaian itu. Tidak menjadi kesalahan memakai pakaian basah sewaktu bersolat jesteru jika terdesak turun sahaja ke dalam sungai dan dan segeralah naik untuk menunaikan solat. Ingat! Air yang keruh dan lumpur (selut) juga boleh dibuat bersuci dan berwuduk.
Carilah tempat tinggi dan pastikan bebas dari najis untuk menunaikan solat. Jangan solat di tempat berlurah kerana dibimbangi najis tertakung di situ. Gunakan kepakaran untuk mencari arah matahari terbenam bagi menunjukkan arah kiblat. Boleh juga menggunakan kaedah melihat bintang untuk mencari arah kiblat jika menjoran pada waktu malam. Arus air sungai juga boleh dijadikan pedoman, kebiasaannya arus sungai semulajadi mengalir ke arah matahari terbenam. Gunakanlah kaedah apapun asalkan kita yakin.
Jika berada di atas sampan,usahakan untuk naik ke tebing. Jika menghadapi kesukaran seperti banjir atau bahaya binatang buas, boleh bersolat di atas sampan dengan cara berdiri atau duduk sekiranya sampan tidak dapat diimbang dengan baik. Gunakan objek seperti beg atau pendayung untuk alas sujud. Ingatlah Islam tidak terletak pada nama, tetapi dapat dilihat pada amalannya.Selamat menjoran dan teruskan menjoran tanpa meninggalkan solat-Tokanpuakajoran.