Selongkar punya selongkar, terjumpa gambar nostalgia, sebuah memori yang terpahat dalam sejarah kampung kelahiran saya iaitu Kampung Sungai Kepar, Semanggol pada 16/6/1999. Ribut kencang berserta hujan batu telah menjadikan kampung saya seperti dihujani bom dan peluru "mesin gun".
Pohon kayu banyak yang tumbang, termasuklah pokok-pokok getah dan tanaman dusun durian milik keluarga kami seluas lebih kurang 3 ekar ranap dan musnah sama sekali. Pokok -pokok durian sebesar pemeluk seperti dipulas dan tertanggal daripada perdunya.
Ada yang diterbangkan angin agak jauh daripada kedudukan pangkalnya.Daun-daun kayu pula berlubang-lubang persis ditembusi peluru penabur atau seperti dimakan ulat.
Padi di sawah yang ketika itu hampir kekuningan berguguran ke bumi. Yang lebih menakjubkan, 4 tiang menara (tower) elektrik (TNB) yang menyalurkan talian bervoltan tinggi merentasi kampung kami tumbang menyembah bumi.
Menurut apa yang diperkatakan oleh orang-orang kampung ketika itu, jangka masa berlakunya ribut tersebut tidak sampai 10 minit. Walaupun kemusnahan persekitaran agak ketara,anehnya, kerosakan rumah dan kediaman tidaklah seteruk mana, hanya beberapa buah rumah sahaja yang tercabut atapnya manakala beberapa buah rumah kayu (papan) diangkat dan diubah daripada kedudukan asal.
Rumah keluarga kami juga tidak mengalami kerosakan yang serius, hanya lubang-lubang kecil yang terbentuk akibat hentaman butiran ais lantaran zink yang usang dan dimakan karat. Saya tidak pasti bagaimana keadaan rumah-rumah di kampung-kampung sekitar yang dilanda ribut yang sama.
Gambar nostalgia kami adik-beradik ketika melakukan misi pembersihan.
Tokan puakajoran, Halil puakajoran, Nuar puakajoran dan Abdul Aziz puakajoran sedang bergambar kenangan.
Beginilah keadaan di hadapan kediaman kami sebelum dan selepas kejadian.
Rentetan kejadian itu, berbagai cerita meniti dari mulu ke mulut. Ada yang mengatakan bala atau bencana itu terjadi disebabkan perbuatan orang yang tidak bertanggung jawab mencarikkan kitab suci al-Quran dan menaburnya di jalanan.Versi ceritanya pula berbagai-bagai. Ada pula yang menyatakan bencana itu terhasil akibat benteng angin (bukit) yang terletak berhampiran Tasik Bukit Merah telah ditebuk untuk laluan susur keluar dari lebuh raya ke Bukit Merah.Saya tidak pasti keesahan cerita-cerita tersebut. Seingat saya, itulah ribut yang paling dahsyat pernah melanda kampung kami. Selepas kejadian itu, masih ujud fenomena ribut yang agak kerap di daerah kami, namun tidaklah seburuk ribut pada tahun tersebut.
Saya nasih teringat kata-kata yang pernah dituturkan oleh dua orang sahabat sewaktu mereka berteduh di bawah tiang atau menara elektrik (orang kampung menggelar tower ini dengan panggilan "tiang tawaw". Ada juga yang menyebut "tiang Jerman") yang tumbang. Seminggu sebelum kejadian, kedua-dua sahabat tersebut Abdul Rahim (Tok Wan Im) dan Abu Bakar Ahmad (Pak Abu) sedang menjoran. Akibat panas yang tidak tertahan mereka berteduh di bawah menara tersebut. Sewaktu berteduh, mereka melahirkan rasa kagum dengan keutuhan menara yang tidak pernah goyang ataupun tumbang walaupun sudah puluhan tahun tertegak di situ. Mereka juga kagum dengan kegigihan orang-orang dahulu menegakkan menara tersebut walhal pada ketika itu laluan memang sukar dan kemudahan yang tidak seberapa. Itulah yang berlaku, tidak sampai beberapa hari selepas itu, bukan 1 malah 4 menara atau tower yang sekian lama tegak akhirnya menyembah bumi.
Gambar arkib ikhsan TNB
Komentar daripada beberapa pihak lain juga boleh diikuti di sini
Link