19 Januari 2019. Misi menerjah atau kembali ke sungai kami teruskan. Seperti sebelumnya kami masih memilih lokasi yang sama Pangkalan Bot Udang Kampung Esso, Teluk Intan.
Misi kami masih tidak berubah, mahu menjinakkan Sang Sepit Biru, Sungai Perak.
Dibarisi pemain lama dan baharu berjumlah 6 orang antaranya Bro Shahrul, Sdr Sahak, Pawang Hamdi, Sdr Mark Pie, dan Cikgu Fitri. Kami menyewa bot Abang Wan. Beliau boleh dihubungi melalui talian 017 5322998 dengan kadar sewa yang berpatutan.
Seketika melayan Sang Sepit Biru tiba-tiba joran disentap kuat. Pucuk dicita ulam mendatang. Spisis yang sekian lama saya idamkan. Saya tidak memburunya tetapi datang menyerah. Dengan sebatang pancing udang bermesin kecil, tali perambut bersaiz 4 lbs. Saya terkial-kial mendaratkannya. Apa yang meyakinkan, saya gunakan mata kail jenama Morigen saiz nombor 1.
Baung Kelulang atau Sang Kelulang @ Changkalulang kata sesetengah penduduk tempatan tewas. Tidak terlalu besar tapi mengasyikkan. 1.25 kg, cukup untuk kali ini.
Ciri-ciri baung jenis ini agak unik. Rupanya yang comel, muncungnya yang pipih, ridip atas belakang ekornya putih susu, matanya yang comel dikelilingi bulatan putih dan ada tanda putih antara kedua-dua matanya. Rasanya mmm enak juga. Harga pasaran agak tinggi berbanding baung ekor merah (vientam).
Sepanjang beraktiviti kami dapat melihat bot-bot besar (kapal) atau feri yang dibawa ke sini untuk pembaikan atau mungkin mahu dilupuskan. Kami tak pasti. Antaranya Feri Pulau Rawa ini.
Dan yang pastinya ada juga Sang Sepit Biru sebagai oleh-oleh. Penamat misi kami pada hari tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan