Utara: Curi air terusan
Oleh Yahya Awang
bhnews@bharian.com.my
2010/04/08
Pihak berkuasa beri amaran kepada penternak arowana
PARIT BUNTAR: Pengusaha ternakan ikan Arowana di tepi Lebuhraya Utara Selatan di kawasan Bukit Merah, dekat sini yang didakwa menyalahgunakan air untuk pengairan sawah dan kegunaan harian penduduk, bagi menampung keperluan kolam ikan, mengundang amaran keras pihak berkuasa.
Operasi itu juga dikatakan menyebabkan ban sawah rosak dan turut menyebabkan kerosakan pada jalan raya dan jalan ladang berikutan kenderaan berat berulang-alik ke kolam.
Jurutera JPS Kerian, Ir Hidzrami Shamsul Anwar, berkata JPS banyak menerima aduan petani yang mendakwa ada pengusaha kolam ikan menyalahgunakan air Terusan Selinsing dan Terusan Bagan Serai bagi mengairkan kolam mereka.
Sehubungan itu katanya, pihaknya mengadakan mesyuarat bersama Persatuan Pengusaha Arowana Utara Malaysia baru-baru ini bagi memastikan bekalan air dari dua terusan berkenaan yang disalirkan dari Tasik Bukit Merah, tidak terjejas dan mencukupi untuk mengairi sawah seluas lebih 24,000 hektar.
Katanya, ia juga bagi menjamin bekalan air minuman kepada lebih 200,000 penduduk daerah itu dan sebahagian penduduk Taiping mencukupi.
"JPS dalam mesyuarat itu memaklumkan syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi penternak. Setiap kolam ikan Arowana menggunakan air hampir 10 kali ganda lebih banyak daripada kawasan sawah, jadi kita mahu pengusaha ikan hiasan ini mematuhi arahan, syarat dan peraturan ditetapkan.
"Jika mereka masih enggan mengikuti syarat dan peraturan itu, tindakan sewajarnya akan diambil seperti akan mencabut paip yang dipasang secara haram untuk mengambil air dari terusan berkenaan.
"Sebelum ini hampir 20 batang paip saliran air haram di dua terusan berkenaan ditutup atau dicabut kerana melanggar peraturan," katanya kepada Berita Harian di sini.
Hidzrami berkata, JPS menerima aduan daripada petani dan mengesan 20 lokasi berlaku kerosakan di sepanjang terusan berkenaan. Pengusaha mengorek ban pada malam minggu dan memasang saluran air haram ke kolam mereka.
"Malah ada 10 pondok didirikan pengusaha di tanah rizab JPS di sepanjang kedua-dua terusan itu untuk dijadikan tempat tinggal pekerja yang kebanyakannya warga asing yang diambil bekerja di kolam ikan berkenaan.
"Perbuatan pengusaha mencuri air dari terusan dan membina pondok dalam tanah rizab JPS jelas menyalahi Akta Pengairan 1953 dan mereka boleh dikompaun.
"Malah kita sudah memaklumkan hal ini kepada Pengarah Imigresen Negeri supaya memantau dan mengambil tindakan kepada pekerja asing ini, terutama mereka yang tidak ada dokumen sah," katanya.
Hidzrami berkata, selain mencabut paip, JPS juga akan merobohkan pondok haram berkenaan.
Beliau berkata, peraturan mesti dipatuhi bagi menjaga kepentingan penanam padi dengan mendapat air secukupnya bagi mengairi sawah supaya hasil padi tidak terjejas.
Katanya, antara syarat mesti dipatuhi adalah pengusaha mesti menyediakan mesin dan kolam takungan air untuk kitar semula air dan tidak dibazirkan dengan membuang ke parit dan sungai.
"Pengusaha juga mesti mendapat kelulusan tukar status tanah pertanian kepada industri ternakan ikan arowana dengan persetujuan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Kerian, Jabatan Pertanian, JPS dan Jabatan Perikanan serta kerajaan negeri," katanya.
Wednesday, September 2, 2009
YANG TERSURAT DAN TERSIRAT MENJELANG KEMERDEKAAN NEGARA KE 52
Oleh: Abu Shaukah Filmanzil
Saya sempat meninjau kelokasi perusahaan arowana yang sangat popular di Bukit Merah, Perak ketika ini. Sekali imbas membangun dengan pesat lokasi tersebut dengan industri akua hiasan bersumberkan ikon arowana Bukit Merah yang kononnya terkenal serata dunia.
Lokasi tersebut sebelum ini adalah kawasan sawah padi yang dipunyai dan diusahakan oleh petani-petani Melayu .Saya kira tanah-tanah pertanian tersebut adalah tanah hak milik nenek moyang mereka yang diturunkan secara perwarisan atau pusaka kepada anak cucu.Tanah-tanah tersebut juga mungkin telah digazetkan sebagai tanah rezab Melayu. Agakkan saya sahajalah.
Saujana mata memandang, terdapat kota-kota konkrit dan bangunan utama yang dibina di atas tanah –tanah yang dahulunya distatuskan sebagai tanah pertanian itu. Di dalam kota-kota konkrit itu terdapat pula berpuluh kolam konkrit yang dibina untuk menempatkan induk dan anak-anak kelisa atau arowana yang dibiakkan secara semulajadi(kata pengusaha).
Pada perkiraan saya bukan sehektar dua tanah-tanah pertanian itu dibangunkan untuk industri tersebut, tetapi mungkin mencecah puluhan atau ratusan hektar. Saya amat berbangga kerana orang Melayu berani menceburi industri tersebut dengan menebusguna dan membangunkan tanah mereka sendiri dengan industri yang berdaya saing dan mencabar.
Bayangkanlah bermula dari pekan Bukit Merah hinggalah ke Padang Lalang. Berapa banyak tanah orang Melayu di sepanjang laluan itu. Sekarang ini boleh dikatakan kesemuanya megah terdiri perusahaan-perusahaan arowana. Terbuktilah kerajaan Barisan Nasional, terutama BN negeri Perak yang sentiasa melaungkan, mahu menjaga kepentingan Melayu sejak 52 tahun lalu. Tidak sia-sia rakyat negeri Perak memilih UMNO dan BN menaungi mereka dulu kini dan selamanya.
Di sebalik megah berdiri kota-kota dan bangunan konkrit yang sudah dibangun dan sedang dalam proses pembangunan, perusahaan arowana yang menelan belanja ratusan ribu itu ,hati saya dihimpit berbagai persoalan. Bagaimanakah orang Melayu yang keadaan hidup mereka dikatogorikan agak senang tetapi tidaklah kaya, berani dan sanggup menceburi bidang yang mencabar lagi berisiko itu. Hebat sungguh kerajaan kita mendidik mereka sepanjang 52 tahun merdeka ini. Ya UMNO, BN dan Melayu memang hebat!
Sepanjang perjalanan saya dari Bukit Merah ke Padang Lalang saya berbual dengan rakan-rakan yang sempat saya temui sedang bepesta memancing di atas Titi Bina ,Padang Lalang. Baung sedang menghempas telur mungkin.Maklumlah hujan turun dua hari berturut-turut, baung-baung itupun mudiklah. Dari makluman rakan-rakan yang sedang memancing itu, saya dengar sebahagian besar orang-orang Melayu di situ telah menjual tanah-tanah mereka kepada orang bukan Bumiputra. Nilaian tanah hanyalah sekitar seratus ribu bagi setiap hektar. Mungkin nilai seratus ribu itu amat tinggi bagi orang Melayu di situ yang rata-rata hanya mampu membeli motosikal dan kereta cabuk. Kini boleh berbangga dengan kereta “koyak plastik”. Yang bijak mencongak pula, seratus ribu dibahagikan pula dengan lapan adik beradik, berapa pula yang dapat? Segelintir itulah yang hanya memajak sahaja tanah mereka, tidak dijual.Itupun masih boleh disangsikan "politik" putar belit pengusaha yang sering menjaja kejayaan mereka.
Pada hemat saya beberapa perkara perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa , kalau orang lain tidak berminat mengetahuinya, memadailah saya seorang. Pertamanya kenapa begitu mudah menukar status tanah pertanian yang begitu banyak jumlahnya kepada status perusahaan arowana? Kedua, mengapa tanah-tanah yang digazetkan sebagai Tanah Rezab Melayu itu dapat dijual kepada bukan Bumiputera? Ketiganya, pihak manakah yang mamantau projek-projek tersebut dan adakah cadangan itu daripada jabatan perikanan atau jabatan pertanian ataupun Kerajaan Negeri Perak sendiri. Setahu saya, apa-apa urusan tanah yang melibatkan hak Rezab Melayu perlu mendapat kelulusan Menteri Besar terlebih dahulu.
Permohonan menukar status tetap tanah tol kepda geran hak milik pun memakan masa lama, inikan pula menukar status tanah dan syarat pemilikan. Sungguh kasihan nasib orang kita. Sepuluh atau dua puluh tahun akan datang, saya kira, akan merempatlah Melayu di bumi sendiri seperti orang-orang Arab Palestine. Keadaan ini telah dirasai oleh orang Melayu Singapura ,Pulau Pinang dan Melaka. Akan disusuli pula Melayu Johor, Pangkor dan Langkawi. Seterusnya seluruh Melayu akan layu dan terus layu hanya kerana pemimpin dan penguasa melayu yang tidak mempunyai semangat Melayu. Ingatlah, lebih kurang 350 tahun lalu kita dijajah, kita kehilangan Pulau Pinang, Singapura dan Melaka. Kini setelah 52 tahun Merdeka, kita telah kehilangan sebahagian lagi Tanah Melayu kerana orang Melayu Sendiri.
SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KEMERDEKAAN NEGARA KE-52.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan