Berhampiran lubuk ini terdapat satu lagi lubuk yang dipanggil "londang".Kedalamannya pada masa air surut Kira-kira satu setengah kali ganda orang dewasa. Londang ini menjadi tempat penduduk sekitar dan kampung-kampung berhampiran berpesta menangkap ikan mengunakan sejenis alat dipanggil "tangkul" semasa air sawah dikeringkan. Lubuk ini dihuni oleh pelbagai spesis ikan seperti keli, haruan, sepat dan puyu bersaiz mega.Apabila londang ini mahu dibuka, akan diuar-uarkan ke seluruh kampung,pagi-pagi lagi akan berkumpullah penduduk, adakalanya menarik perhatian penduduk dari Bukit Merah dan Gunung Semanggol untuk turut berpesta.Disini jugalah saya dapat melihat buat pertama kalinya ikan kelisa atau arowana. Ikan tersebut memasuki tangkul yang dipasang oleh mak cik Siah. Pada mulanya beliau menyangka ikan itu hanya seekor ikan selat lalu mahu membuangnya, namun sempat diperhatikan oleh salah seorang penduduk dan menyatakan ikan itu adalah kelisa.Ikan itu akhirnya dibeli oleh seorang Cina dengan harga RM 50.00.
Dua tahun lepas (2007) saya pernah bertanya harga kelisa di Bukit Merah, kira-kira sebesar dua jari lebih, seperti yang ditangkap oleh makcik Siah dulu.(kebetulan saya ke sana dan diminta oleh seorang rakan yang berminat untuk memelihara kelisa Bukit Merah. "Survey" harga la). Harganya terlalu jauh berubah berbanding 30 tahun lalu. RM 2800.00 seekor.
Disini jugalah tempat penduduk sekitar berpesta menangkap anak-anak ikan sebesar jari yang bertali arus bermain air, menggunakan tangkul yang dilapis kain kelambu ditengahnya ketika banjir melanda untuk dijadikan lauk serta hidangan istimewa "cucur anak ikan". Cerita-cerita itu hanya tinggal kenangan dan tidak mungkin dilalui oleh generasi akan datang.
Kelihatan seorang penduduk (Salleh Bakar) sedang merentang jaring berdekatan kunci air. Saya tidak sempat merakam aksi seterusnya kerana hujan lebat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan