YAN - 14 Dis. 2008, Ramai penduduk Kampung Sungai Udang di sini terkejut dengan penemuan seekor anak ikan paus seberat kira-kira 40 kilogram yang tersangkut di jaring nelayan yang sedang memukat ikan pada jarak 500 meter dari pantai di sini tengahari semalam.
Namun, anak ikan paus itu yang dipercayai terpisah dari ibunya ditemui tidak bernyawa ketika diangkat naik ke bot oleh Arshad Baharom, 52 tahun.
Anak ikan paus berukuran 1.42 meter panjang itu dipercayai jenis 'fin' berdasarkan sirip belakang yang pendek, bukaan mulut yang panjang serta bergaris lurus selari dengan matanya.
Menurut seorang pegawai Perikanan yang ditemui ditempat kejadian berkata, anak ikan paus itu dipercayai terpisah daripada ibunya sebelum memasuki perairan Yan.
"Ia dipercayai mati akibat luka semasa berusaha untuk melepaskan diri dari pukat.
"Beberapa bahagian siripnya menggelupas dan terdapat kesan darah manakala bahagian lain badannya masih dalam keadaan elok," katanya.
Sementara itu, Arshad yang ditemui berkata, selama lebih 40 tahun bekerja sebagai nelayan pantai inilah kali pertama pukatnya tersangkut anak ikan paus.
"Saya berasa hairan apabila pukat yang sedang ditarik keatas bot menjadi teramat berat, sedangkan tidak banyak ikan yang tersangkut," katanya.
Walaupun mendapati anak ikan paus itu telah mati, Arshad membawanya pulang dan memaklumkan perkara itu kepada rakan-rakannya.
Salah seorang rakannya kemudian memaklumkan kepada Jabatan Perikanan yang tiba sejurus selepas itu sebelum membawa ikan itu ke Pusat Perikanan di Batu Maung, Pulau Pinang untuk diselidik.
PULAU PINANG 14 Dis. - Orang ramai yang sedang beriadah sambil memancing di kawasan Padang Kota di sini, gempar apabila bangkai seekor ikan lumba-lumba ditemui terdampar di pantai tersebut.
Panjang mamalia berkenaan dianggarkan melebihi dua meter dengan berat mencapai 200 kilogram.
Kakitangan awam, Muhamad Afizudin Abdullah, 25, berkata, mamalia itu yang ditemui kira-kira pukul 3 petang dipercayai mati beberapa hari lalu berdasarkan bau bangkai yang busuk dan terdapat kecederaan di kepalanya.
''Saya bersama beberapa rakan yang lain sedang bersiar-siar di kawasan ini setelah menjamu selera di restoran berdekatan.
''Tiba-tiba kami terlihat seekor ikan besar terapung-apung di laut. Apabila ikan tersebut menghampiri benteng, kami kemudiannya turun dan menarik ikan tersebut naik ke atas supaya dapat ditonton oleh orang ramai yang lain. Kami ingatkan ikan apa, rupa-rupanya ikan lumba-lumba," katanya.
Bangkai ikan lumba-lumba itu kemudiannya diletakkan di atas simen berhampiran kawasan berkenaan.
Sementara itu di YAN, KEDAH, penduduk Kampung Sungai Udang gempar apabila seekor anak ikan paus seberat 40 kilogram ditemui tersangkut pada pukat milik seorang nelayan kira-kira 500 meter dari pantai Sungai Udang hari ini.
Anak ikan paus berukuran 1.42 meter itu dikatakan jenis Fin berdasarkan keadaan sirip belakang dan mulutnya.
Ia dipercayai sesat semasa terperangkap dalam pukat milik Arshad Baharom, 52, yang sedang mencari ikan di perairan tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari.
Menurut Arshad, pada mulanya, dia menyangka mendapat ikan besar selepas mendapati pukat yang ditariknya terlalu berat.
"Pukat yang ditarik amat berat sedangkan pada awalnya saya sudah periksa dan dapati tidak banyak ikan yang tersangkut.
"Namun, selepas menaikkannya ke atas bot, saya terkejut kerana mendapati ia seekor ikan paus," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Arshad bagaimanapun berkata, ketika dinaikkan, anak ikan paus terbabit didapati sudah tidak bernyawa lagi.
"Saya ingin buang semula anak ikan ini ke laut. Namun, selepas berfikir sejenak tak sampai hati pula buang," katanya.
Menurut nelayan itu, dia kemudian menghidupkan enjin laut dan membawa pulang bangkai ikan terbabit ke pantai sebelum memanggil penduduk kampung melihatnya.
"Sepanjang hampir 30 puluh tahun menjadi nelayan, inilah kali pertama saya jumpa ikan paus di kawasan perairan Yan," jelasnya.
Dalam pada itu, seorang jurucakap Jabatan Perikanan ketika ditemui di tempat kejadian memberitahu, anak ikan paus tersebut dipercayai tersesat daripada ibunya sebelum memasuki perairan Kuala Muda dan Yan.
"Berdasarkan pemeriksaan awal, terdapat beberapa kesan luka pada anggota badan ikan tersebut.
"Kita tidak menolak kemungkinan ia mati ketika berusaha melepaskan diri dari pukat terbabit," jelasnya.
Beliau berkata, anak ikan tersebut akan dibawa ke Pusat Perikanan Batu Maung, Pulau Pinang untuk tujuan penyelidikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan