Seawal 6.30 pagi saya bertolak dari Slim River menjemput Ustaz Dusuki di FELDA Besout terus ke Bidor menjemput En. Shahrul dan langsung ke Tapah menjemput seorang lagi sahabat.
Menyusuri Jalan Tapah Road ke Cendrong Balai. Singgah sebentar sarapan pagi di gerai Awek Comel (ha ha). Kemudian terus ke Teluk Memali. Satu lokasi yang masih belum teruk tercemar dan ada menyimpan sejarah Kesultanan Perak.
Seketika tiba di lokasi terpandang seorang sahabat (bekas anggota TNB Slim River) sedang berusaha mendaratkan seekor belida.
Menurut beliau Sang Belida ini tersangkut mata pancing mungkin ghairah memburu anak-anak ikan yang mengerumuni umpan sawit beliau. Itulah rezeki namanya.
En. Shahrul pula sempat juga menjinakkan Sang Kelabau. Air surut menyebabkan aktiviti terhenti. Sungai umpama tiada ikan waktu itu.
Tempoh masa bertenang itu saya sempat menyusur ke hilir sungai.
Di situ bersemadinya jasad Almarhum Paduka Sultan Perak yang ke 17. Almarhum Sultan Alauddin Mansur Syah Iskandar Muda (1773-1786).
Saya difahamkan kira-kira 3 KM dari situ terdapat satu lagi makam iaitu makam kekanda baginda Raja Ahmad. Saya tidak sempat melewati makam tersebut.
Di lokasi ini saya daratkan seekor patin mini. Ikan Joghe kata orang Pantai Timur.
Biarpun tiada tangkapan bersaiz mega sekurang-kurangnya lepas juga untuk makan malam.
Kami bergegas pulang pada pukul 3.00 petang biarpun rencana asalnya hingga ke petang.
InsyaAllah misi sungai akan diteruskan pada 9.2.2019 jika keadaan mengizinkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan