Teknologi pertanian secara moden telah dibawa masuk ke sini sejak awal tahun 80-an. Semenjak itu kawasan sawah yang menjadi lubuk segala jenis ikan bertukar menjadi kawasan datar yang sunyi sepi. Jika adapun ikan yang menghuni saiznya tidaklah seperti saiz sebelum tahun 80-an dulu.

Sebelum tahun 80-an setiap lot tanah disini pastinya mempunyai sekurang-kurangnya sebuah telaga yang digali. Tujuannya untuk memerangkap ikan yang bebas hidup di sawah ketika air petak sawah dikeringkan.Kini telaga-telaga itu telah dikambus bagi memudahkan jentera mengerjakan sawah.

Pemilik tanah ini dahulunya pernah memiliki beberapa buah telaga bagi setiap lot tanahnya. Pada masa air di keringkan dari petak sawah, tuan-tuan punya sawah dan telaga dengan segera melakukan aktiviti "menimba" dan memungut ikan-ikan yang terperangkap. Tujuan aktiviti dilakukan dengan segera adalah untuk mendapatkan harga yang sedikit mahal bagi ikan-ikan yang dijual. Jika dibiarkan agak lama harga mungkin menjadi terlalu rendah akibat terlalu banyak ikan yang keluarkan. Ada kalanya langsung tidak diterima oleh pemborong. Masih segar dalam ingatan bagaimana besarnya saiz haruan,keli,sepat dan puyu ketika itu. Bilangannya pula, usah dicerita. Sekali di timba, setiap telaga mampu mengeluarkan ratusan kilogram ikan. Dan masih saya ingat, pada waktu itu ikan puyu dianggap ikan kelas ketiga. Langsung tidak dihiraukan orang.

Kini segalanya telah berubah. Tiada lagi haruan,sepat, keli dan puyu bermastautin di sawah-sawah ini. Jika adapun saiznya terlalu kecil.

Di sini juga terletak sebidang tanah sawah hak milik saya seluas lebih kurang 2 ekar. Saya membelinya sekitar 6 tahun dulu. Saya bercadang membina sebuah teratak @ homestay di situ namun cadangan tinggal cadangan.









Generasi hari ini masih bernasib baik kerana ikan-ikan tersebut hanya pupus di dalam bendang dan tidak di parit dan tali air yang merentas sawah ladang mereka.Itulah benteng terakhir puyu dan spesis ikan sawah yang lain. Andainya batu konkrit dipilih menjadi laluan dan saluran air ke sawah, saya yakin generasi akan datang akan menikmati ikan puyu yang mungkin berharga RM 5o sekilogram berbanding sekarang RM 8 hingga RM 12/kg. Pada awal tahun 80-an dan sebelumnya, puyu langsung tidak berharga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan