24 Jun 2012
HULU TERENGGANU - Keriangan seorang kontraktor untuk memancing di Sungai Tetuang, Tasik Kenyir bertukar tragedi apabila mangsa terjatuh dari bot sebelum dijumpai lemas di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Ismail Muslim berkata mangsa, Tan Thung Foo, 40, seorang kaki pancing dari Selangor pergi ke sungai berkenaan
untuk memancing bersama seorang rakannya berusia 37 tahun kira-kira 2.45 petang.
Katanya mangsa ke tempat tersebut dengan menaiki bot yang dikemudi oleh rakannya dan apabila sampai di tempat kejadian mangsa cuba mengikat bot berkenaan pada tunggul kayu di tengah tasik tetapi Tan terjatuh kerana gagal mengimbangi badan.
"Kita dimaklumkan mangsa memakai jaket keselamatan tetapi ia hanya disangkut di badan dan tidak diikat dengan kemas menyebabkan hanya jaket tersebut dan topi mangsa timbul selepas mangsa terjatuh," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Katanya selepas melihat mangsa tenggelam, rakannya panik dan tidak mampu berbuat apa-apa dan dia cuba mendapatkan bantuan melalui telefon namun ia agak sukar memandangkan lokasi berkenaan adalah di luar rangkaian talian.
Mohd Ismail berkata bertindak atas laporan pihak polis dan 13 anggota jabatan bomba dan penyelamat Hulu Terengganu bersama dua buah bot tiba di tempat kejadian pada 6 petang, yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Pengkalan Gawi.
"Mayat mangsa ditemui kira-kira 7.40 pagi tadi yang terapung tidak jauh dari tempat dia terjatuh dan mayat dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat," katanya.
Sementara itu, Mohd Ismail mengingatkan orang ramai supaya menjaga keselamatan untuk melakukan sebarang aktiviti di Tasik Kenyir terutamanya perlu memakai jaket keselamatan dengan betul. - Bernama
Tokan: Pada tarikh yang sama juga, sahabat-sahabat puakajoran.blogspot sedang mengadakan jelajah dan rekreasi di Tasik Banding, Perak selama 2 hari 1 malam.Harap-harap mereka seronok dan selamat.
SEKADAR RENUNGAN
“Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti akan kalah jika berhujah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil tidak pernah faham landasan ilmu”- Imam as Syafie.
Peringatan Kepada Yang Lupa
Ibadah Solah Jangan diabaikan
Rakan-rakan joran sekalian, di manapun kita menjoran dan dalam situasi bagaimana sekalipun, amalan solat jangan diabaikan. Usahakan seboleh-bolehnya untuk menunaikannya. walau dalam keadaan dan keupayaan yang terbatas. Solat itu fardhu. Justeru itu menjadi kewajipan bagi setiap penjoran bersedia dengan bekalan untuk Solat sebagaimana usaha kita menyediakan bekalan makan dan minum ketika melakukan aktiviti ini. Ingat kaedah usul fikh “ tidak sempurna wajib melainkan dengannya wajib”.
Sebagai contoh wajib bagi kita menyediakan baldi jika dengan baldi itu dapat mengangkat air untuk berwuduk. Tidak perlu beria-ia dengan kain pelikat atau songkok yang pelbagai, memadailah dengan pakaian yang menutup aurat dan pakaian yang kita yakini bersih. Islam menggalakkan umatnya sentiasa berada dalam keadaan bersih sepanjang masa. Alas untuk solat tidak semestinya dari sejadah baldu tetapi memadailah lapikan daun pisang, kertas surat khabar atau pelepah sawit dan daun pakis. Jika kesukaran mendapatkan air kerana tebing yang tinggi atau dibimbangi menjadi mangsa buaya, gunakan kemahiran untuk mendapatkan air dengan menggunakan tali pancing dan bekas plastik.
Jika pakaian terkena najis wajib dibasuh sekiranya jelas terlihat najis atau kesannya pada pakaian kita. Jika tidak, pakaian kita tetap bersih sebagaimana kita mula memakainya dan bolehlah menunaikan solat dengan pakaian itu. Tidak menjadi kesalahan memakai pakaian basah sewaktu bersolat jesteru jika terdesak turun sahaja ke dalam sungai dan dan segeralah naik untuk menunaikan solat. Ingat! Air yang keruh dan lumpur (selut) juga boleh dibuat bersuci dan berwuduk.
Carilah tempat tinggi dan pastikan bebas dari najis untuk menunaikan solat. Jangan solat di tempat berlurah kerana dibimbangi najis tertakung di situ. Gunakan kepakaran untuk mencari arah matahari terbenam bagi menunjukkan arah kiblat. Boleh juga menggunakan kaedah melihat bintang untuk mencari arah kiblat jika menjoran pada waktu malam. Arus air sungai juga boleh dijadikan pedoman, kebiasaannya arus sungai semulajadi mengalir ke arah matahari terbenam. Gunakanlah kaedah apapun asalkan kita yakin.
Jika berada di atas sampan,usahakan untuk naik ke tebing. Jika menghadapi kesukaran seperti banjir atau bahaya binatang buas, boleh bersolat di atas sampan dengan cara berdiri atau duduk sekiranya sampan tidak dapat diimbang dengan baik. Gunakan objek seperti beg atau pendayung untuk alas sujud. Ingatlah Islam tidak terletak pada nama, tetapi dapat dilihat pada amalannya.Selamat menjoran dan teruskan menjoran tanpa meninggalkan solat-Tokanpuakajoran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan