Ahad, 21 Julai 2013
4 rakan ditemui lemas cari lala di Sungai Melaka
MELAKA - Empat rakan ditemui mati lemas ketika mencari lala di Sungai Melaka di Taman Seri Krubong, Krubong di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa yang terdiri daripada adik beradik iaitu Hanis Balkis Fadzli, 7, dan Mohamad Nazmi Fadzli, 9, serta dua rakan mereka iaitu Athafiz Amin, 10, dan Rodziatul Nadia Rosnan, 12, dipercayai tergelincir lalu terjatuh ke dalam sungai.
Timbalan Penguasa Bomba dan Penyelamat Melaka Kamarulzaman Mohd Din berkata tujuh anggota bomba dari Balai Bomba Ayer Keroh dan 11 anggota unit penyelam dari Balai Bomba Kubu dikejarkan di tempat kejadian.
"Bomba menerima panggilan pada pukul 4.58 petang dan berjaya menemui mayat mangsa keempat pada pukul 6.04 petang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka dan dikebumikan malam ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cheng di sini.
Kakak kepada Athafiz iaitu Athirah Amin, 16, berkata adiknya bersama tujuh lagi rakan yang tinggal di taman perumahan yang sama pergi mencari lala di kawasan sungai itu bagi dijadikan juadah berbuka.
"Mereka pergi berlapan cari lala di sungai itu, bila adik saya dan tiga lagi kawannya tergelincir masuk dalam sungai lagi empat cuba selamatkan tapi tak berjaya. Lepas tu mereka semua terus dapatkan bantuan orang ramai.
"Saya memanglah sangat sedih hilang adik saya terutamanya masa Hari Raya yang semakin dekat ini," katanya yang mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 5
petang daripada jirannya.
Norizan Zainal, 40, ibu Rodziatul Nadia, berkata ketika kejadian beliau sedang pergi ke kedai untuk membeli mi bagi kegunaan perniagaannya dan mengetahui kejadian daripada jirannya kira-kira pukul 6 petang ketika pulang dari kedai.
"Selama ini anak saya tak pernah pergi ke sungai itu untuk bermain atau buat apapun. Dua tiga hari ini anak saya semakin rajin ikut saya pergi tarawih, dia juga ada kata tak mahu pergi sekolah esok dan mahu saya belikan jubah untuk dia," katanya.
Sementara itu, Ismail Hamid, 64, datuk kepada Hanis Balkis dan Mohamad Nazmi, berkata dia tidak menyangka mimpi jatuh ke dalam sebuah lubang gelap beberapa hari sebelum kejadian membawa petanda buruk menimpa kedua-dua cucunya itu.
"Saya berasa pelik dengan mimpi tersebut tapi tidak sangka ia petunjuk cucu-cucu saya akan pergi dulu sebelum saya," katanya.
Pesara itu berkata kedua-dua cucunya itu turut menunjukkan perubahan ketara seminggu sebelum kejadian apabila Hanis Balqis tiba-tiba mahu tidur di atas lengannya pada malam sebelum kejadian manakala Mohamad Nazmi pula tidak mahu masuk ke rumahnya walaupun disuruh beberapa kali.
Kesemua mayat mangsa dituntut keluarga masing-masing dari Hospital Melaka kira-kira pukul 11 malam ini. - Bernama
Arkib Layan Tenggiri Yan - Tokanpuakajoran
Arkib Layan Layaran Tuas Yan - Cikgu Lah Puakajoran
Arkib - Layan Rohu Sungkai
Arkib Layan Kelabau 4 - Juragan Nizam
Arkib Layan Kelabau - Tokanpuakajoran
Arkib Layan Kelabau 2 - Juragan Nizam
Arkib Layan Kelabau 1 - Juragan Nizam
Arkib Layan Toman Bukit Merah - Juragan Nizam
SEKADAR RENUNGAN
Arkib Blog
Peringatan Kepada Yang Lupa
Rakan-rakan joran sekalian, di manapun kita menjoran dan dalam situasi bagaimana sekalipun, amalan solat jangan diabaikan. Usahakan seboleh-bolehnya untuk menunaikannya. walau dalam keadaan dan keupayaan yang terbatas. Solat itu fardhu. Justeru itu menjadi kewajipan bagi setiap penjoran bersedia dengan bekalan untuk Solat sebagaimana usaha kita menyediakan bekalan makan dan minum ketika melakukan aktiviti ini. Ingat kaedah usul fikh “ tidak sempurna wajib melainkan dengannya wajib”.
Sebagai contoh wajib bagi kita menyediakan baldi jika dengan baldi itu dapat mengangkat air untuk berwuduk. Tidak perlu beria-ia dengan kain pelikat atau songkok yang pelbagai, memadailah dengan pakaian yang menutup aurat dan pakaian yang kita yakini bersih. Islam menggalakkan umatnya sentiasa berada dalam keadaan bersih sepanjang masa. Alas untuk solat tidak semestinya dari sejadah baldu tetapi memadailah lapikan daun pisang, kertas surat khabar atau pelepah sawit dan daun pakis. Jika kesukaran mendapatkan air kerana tebing yang tinggi atau dibimbangi menjadi mangsa buaya, gunakan kemahiran untuk mendapatkan air dengan menggunakan tali pancing dan bekas plastik.
Jika pakaian terkena najis wajib dibasuh sekiranya jelas terlihat najis atau kesannya pada pakaian kita. Jika tidak, pakaian kita tetap bersih sebagaimana kita mula memakainya dan bolehlah menunaikan solat dengan pakaian itu. Tidak menjadi kesalahan memakai pakaian basah sewaktu bersolat jesteru jika terdesak turun sahaja ke dalam sungai dan dan segeralah naik untuk menunaikan solat. Ingat! Air yang keruh dan lumpur (selut) juga boleh dibuat bersuci dan berwuduk.
Carilah tempat tinggi dan pastikan bebas dari najis untuk menunaikan solat. Jangan solat di tempat berlurah kerana dibimbangi najis tertakung di situ. Gunakan kepakaran untuk mencari arah matahari terbenam bagi menunjukkan arah kiblat. Boleh juga menggunakan kaedah melihat bintang untuk mencari arah kiblat jika menjoran pada waktu malam. Arus air sungai juga boleh dijadikan pedoman, kebiasaannya arus sungai semulajadi mengalir ke arah matahari terbenam. Gunakanlah kaedah apapun asalkan kita yakin.
Jika berada di atas sampan,usahakan untuk naik ke tebing. Jika menghadapi kesukaran seperti banjir atau bahaya binatang buas, boleh bersolat di atas sampan dengan cara berdiri atau duduk sekiranya sampan tidak dapat diimbang dengan baik. Gunakan objek seperti beg atau pendayung untuk alas sujud. Ingatlah Islam tidak terletak pada nama, tetapi dapat dilihat pada amalannya.Selamat menjoran dan teruskan menjoran tanpa meninggalkan solat-Tokanpuakajoran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan