Keladi bunting atau dalam sebutan masyarakat setempat senang memanggilnya "kemelin", sejenis tumbuhan air yang tidak diendahkan atau tidak berguna kepada sesetengah orang. Jika adapun, hanya segelintir.Penggemar tumbuhan akua yang menjadikan hiasan dalam pasu atau kolam kecil di pojok taman mini atau tempat takungan bertujuan memelihara ikan guppy atau ikan laga.
Bagi saya dan sebilangan penduduk sekitar daerah Krian,Perak,tumbuhan ini mungkin membangkitkan kenangan silam yang sukar dilupakan.Apa tidaknya, sekitar tahun 80-an dan tahun-tahun sebelumnya ikan paya dan sawah amatlah banyak. Parit dan sungai yang dalam airnya, ditumbuhi pokok keladi bunting yang tebal seperti gambut.Di situlah juga bersarangnya segala jenis ikan dan haiwan lain seperti ular dan biawak.Keadaannya mungkin menggerunkan kanak-kanak dan remaja seperti saya ketika itu.
Di tempat saya, terdapat satu lokasi paya yang amat dalam dan luas dipanggil londang. Jika melalui lokasi itu pada waktu malam, pastinya terasa seram dan gerun, lantaran jalannya yang sempit dan becak,disusuli keluasan dan kedalaman londang tersebut.Permukaan londang pula dilitupi gambut keladi bunting yang amat tebal.Terdapat juga arus yang berpusing airnya.Di situ jugalah bersarangnya ular sawa dan punti.Di sekitar londang itu pula terdapat jajaran pohon rumbia,mengkuang dan jejawi yang menambahkan lagi rasa cuak.Kata orang kampung, sesekali buaya juga pernah mudik hingga ke situ.Bayangkanlah jika sedang berbasikal seorang diri dan jatuh di londang itu pada waktu malam.
Menariknya, apabila musim air kering (musim menuai), perasaan takut atau cuak hilang begitu sahaja. Apa tidaknya, londang yang dalam dan luas itu dihuni oleh ikan-ikan yang cukup besar.Pada hari pembukaan londang itu, akan berkumpullah penduduk setempat dan kawasan sekitarnya untuk menangkap ikan menggunakan tangan dan tangkul@tangkoi dalam loghat utara. Tangkul ialah sejenis jaring yang dipasang pada 4 batang jejari buluh dan diangkat menggunakan sebatang buluh panjang sebagai pemegang.Tanggkul direndam dan dianggkat apabila dirasakan ikan sudah masuk ke dalam jaringnya.Aktiviti ini biasanya dilakukan oleh orang-orang perempuan.Orang lelaki pula akan turun ke londang ini dan menangkap ikan menggunakan tangan sahaja atau bahasa tempatan, menggagau.Caranya, mereka akan membolak-balikkan gambut keladi bunting berulang kali. Ikan-ikan yang banyak dan mabuk bersembunyi di dalam gulungan keladi bunting yang sudah jadi seperti bebola yang besar.Ikan-ikan yang terlepas pula biasanya akan masuk ke dalam tangkul.Di sini jugalah saya pernah menyaksikan ikan kelisa atau arowana buat kali pertama dalam hidup saya.Sekitar tahun 1983.
Selain daripada menjadi tempat persembunyian dan pembiakan ikan, keladi bunting juga berfungsi sebagai agen penuras air.Akar-akar keladi bunting yang banyak dapat menyejuk dan menjernihkan air.Saya masih ingat ketika bekalan air paip belum dinikmati oleh masyarakat luar bandar seperti kampung kami, orang-orang kampung mandi di kolam dan telaga yang dilitupi oleh tumbuhan ini. Airnya amat jernih dan sangat sejuk.Apapun kini, saya hanya mampu mencatat nostalgia.Saya kira, usahkan generasi akan datang dapat melihat gambaran ini,saya sendiripun, segala-galanya sudah lama lenyap dari pandangan. Yang ada hanyalah ruang-ruang "kontang" dan kota-kota batu yang semakin membiak.
perkataan baru : londang...baru tahu...
BalasPadambaru tau pokok ni keladi bunting....
BalasPadamkalo balik bagan serai,mak & abah suka kutip boh dlm besen nk bwk balik besout :P
BalasPadam